saifulaffendy@hmetro.com.my
Ipoh: Skuad hoki Jepun bercita-cita tinggi untuk muncul juara Sukan Asia apabila mereka menjadi tuan rumah kepada temasya sukan itu pada 2026 di Aichi-Nagoya sekali gus bakal meraih tiket automatik ke temasya Olimpik Los Angeles 2028.
Justeru itu, juruanalisis pasukan, Tomohiro Chujo berkata, persiapan mereka untuk misi itu sudah bermula sekarang dan Piala Sultan Azlan Shah adalah prospek terbaik untuk melihat kemampuan barisan pemain skuad Matahari Terbit itu.
“Matlamat kami sekarang adalah membentuk pasukan yang benar-benar kuat di Sukan Asia dan adalah penting untuk barisan pemain ini beraksi dalam kejohanan seperti Piala Sultan Azlan Shah.
“Memandangkan kami akan menjadi tuan rumah Sukan Asia akan datang, harapan kini lebih tinggi untuk pasukan dan kami perlu bermula daripada sekarang jika mahukan kejayaan dalam masa dua tahun lagi.
“Kami perlu bekerja keras dan memastikan kami memenangi pingat emas di Sukan Asia serta layak secara merit ke Los Angeles pada 2028,” katanya.
Jepun gagal layak ke Olimpik Paris selepas hanya menduduki tempat ketujuh dalam kelayakan Olimpik yang berlangsung di Valencia, Sepanyol, pada Januari lalu.
Skuad Samurai mencipta kejutan besar dengan menewaskan Malaysia 3-1 dalam penentuan sepakan penalti untuk memenangi pingat emas Sukan Asia Jakarta 2018 sekali gus layak ke Olimpik Tokyo 2020 secara merit.
Secara keseluruhan, Jepun memenangi empat pingat di Sukan Asia sejak penampilan pertama mereka pada 1958 di Tokyo.
Prestasi terbaik Jepun di PSAS ialah menduduki tempat keempat pada edisi 2022 selepas tewas 3-5 kepada Pakistan dalam penentuan tempat ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd



