Jepun haramkan penggunaan 'power bank' dalam pesawat mulai April ini

Jepun haramkan penggunaan 'power bank' dalam pesawat mulai April ini

Tokyo: Penggunaan ‘power bank’ atau bateri mudah alih di dalam kapal terbang akan diharamkan di Jepun mulai April ini, lapor Japan Today.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, perkara berkenaan dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun kepada syarikat penerbangan selepas beberapa insiden bateri mudah alih terbakar semasa penerbangan.

Kata sumber sama, larangan itu bukan sahaja meliputi penggunaan bateri mudah alih untuk mengecas telefon pintar, malah turut merangkumi pengecasan peranti berkenaan melalui soket kuasa di dalam pesawat.

Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan memutuskan, untuk memperketatkan langkah selepas sebelum ini, sejak Julai lalu, menggesa penumpang supaya tidak menyimpan bateri mudah alih di ruang simpanan atas kepala serta memastikan ia berada dalam jangkauan sepanjang penerbangan.

Menurut kementerian itu, bateri litium-ion yang lazim digunakan dalam bateri mudah alih boleh menyala akibat hentakan fizikal atau kemerosotan secara beransur-ansur.

Ketika ini, bateri mudah alih tidak dibenarkan dibawa dalam bagasi daftar masuk dan tertakluk kepada had jumlah serta kapasiti dalam bagasi kabin.

Pada Januari 2025, satu kebakaran berlaku dalam pesawat syarikat penerbangan tambang rendah yang dikendalikan Air Busan Co dan dipercayai berpunca daripada bateri mudah alih yang rosak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top