Tokyo: Jepun akan melaksanakan semakan semula undang-undang trafik jalan raya mulai April tahun depan yang membolehkan denda dikenakan terhadap pelanggaran trafik kecil undang-undnag seperti menggunakan telefon bimbit ketika menunggang basikal atau melanggar lampu isyarat, menurut polis pada Khamis.
Menurut Agensi Berita Kyodo, bermula 1 April 2026, pihak polis boleh mengeluarkan tiket biru kepada individu berusia 16 tahun ke atas.
Tiket biru membolehkan pesalah mengelak daripada didakwa jika mereka membayar denda, dan akan digunakan bagi lebih 100 jenis kesalahan, selaras dengan usaha negara itu membanteras pelanggaran peraturan oleh penunggang basikal.
Ketika ini, penunggang basikal hanya dikenakan tiket merah bagi kira-kira 20 kesalahan serius termasuk menunggang dalam keadaan terlalu mabuk.
Tiket merah memerlukan siasatan yang boleh membawa kepada prosiding jenayah, sekali gus membebankan pihak polis dan pesalah.
Tiket biru dijangka dikeluarkan sekiranya penunggang gagal mematuhi arahan polis atau membahayakan pengguna jalan raya lain.
Di bawah sistem tiket biru, denda akan dikenakan sebanyak 12,000 yen (kira-kira US$84) bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit atau melihat skrin telefon ketika menunggang basikal, 6,000 yen kerana melanggar lampu isyarat, 5,000 yen kerana menunggang sambil memegang payung atau mendengar muzik menggunakan fon telinga, dan 3,000 yen kerana membawa penumpang.
Semakan semula undang-undang itu turut mewajibkan penunggang basikal untuk berada di sebelah kiri jalan sejauh mungkin, manakala kenderaan pula perlu memotong basikal pada kelajuan yang selamat.
Berikutan peningkatan penggunaan basikal sebagai kaedah ulang-alik semasa pandemik Covid-19, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan kemalangan melibatkan penunggang basikal.
Pada November 2024, hukuman penjara dan denda telah diperkenalkan terhadap mereka yang menunggang dalam keadaan mabuk atau membahayakan trafik dengan menggunakan telefon bimbit.
© New Straits Times Press (M) Bhd