Jepun lakar sejarah, benam England di Wembley

Jepun lakar sejarah, benam England di Wembley
Jepun lakar sejarah, benam England di Wembley

Jepun melakar kejayaan bersejarah menewaskan England di Wembley. – AFP

JEPUN melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan kemenangan sulung ke atas England dengan keputusan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley.

Jaringan tunggal bintang Brighton, Kaoru Mitoma pada awal perlawanan sudah memadai untuk skuad Samurai Blue menamatkan penantian panjang bagi menewaskan The Three Lions buat kali pertama.

Sebelum ini, Jepun tewas dua kali dan seri sekali dalam pertemuan terdahulu, namun dalam aksi pertama kedua-dua pasukan sejak 2010 itu, anak buah Hajime Moriyasu membuktikan mereka kini adalah kuasa besar yang perlu dihormati.

Kemenangan itu juga menyaksikan England dimalukan di laman sendiri apabila tewas buat kali pertama kepada negara Asia dalam 11 perlawanan, sekali gus mengundang sorakan ‘boo’ daripada penyokong tuan rumah.

Jepun yang kini menghuni tangga ke-18 ranking FIFA berada dalam momentum terbaik dengan lima kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Brazil pada Oktober lalu dan menang 1-0 ke atas Scotland, Sabtu lalu.

Selepas sekadar mencecah pusingan 16 terakhir dalam empat daripada enam edisi Piala Dunia sebelum ini, Jepun kini menetapkan sasaran untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama pada kejohanan di Amerika Utara, Jun ini.

Melihat kepada cara mereka menjinakkan England, sasaran tersebut dilihat realistik untuk dicapai berdasarkan kualiti permainan yang dipamerkan.

Pada ketika Jepun meninggalkan Wembley dengan keyakinan memuncak, skuad England kendalian Thomas Tuchel pula berakhir dengan penuh tanda tanya selepas gagal mempamerkan aksi meyakinkan.

Dalam peluang terakhir untuk merebut tempat dalam skuad 26 pemain ke Piala Dunia, beberapa pemain simpanan Tuchel gagal membuktikan kemampuan mereka.

Ketiadaan kapten, Harry Kane yang mengalami kecederaan ringan nyata dirasai apabila Phil Foden yang diletakkan sebagai ‘false nine’ bergelut untuk memberikan impak, manakala pemain seperti Cole Palmer, Morgan Rogers dan Marc Guehi juga gagal menonjol.

England dihukum menerusi serangan balas pantas Jepun pada minit ke-23 selepas Palmer kehilangan bola kepada Mitoma yang kemudiannya tenang menyempurnakan hantaran Keito Nakamura.

England cuba bangkit menerusi percubaan jarak jauh Elliot Anderson, namun ketangkasan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki memastikan gawangnya tidak dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Ringkasan AI

  • Jepun mencatat kemenangan sulung 1-0 ke atas England di Stadium Wembley.
  • Jaringan awal Kaoru Mitoma memastikan kekalahan pertama England kepada negara Asia di Wembley.
  • Jepun kini menghuni tangga ke-18 ranking FIFA dengan lima kemenangan berturut-turut.
  • Jepun menetapkan sasaran untuk melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama di Amerika Utara.
  • Skuad England gagal mempamerkan aksi meyakinkan, terutamanya tanpa kehadiran Harry Kane.
Scroll to Top