Tokyo: Kemenangan ke atas England dan Scotland mengukuhkan status Jepun sebagai wakil Asia paling berpotensi mencipta impak besar pada Piala Dunia 2026.
Jepun mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas kedua-dua pasukan Eropah itu, termasuk kejayaan bersejarah menewaskan England buat kali pertama oleh wakil Asia.
Jurulatih Hajime Moriyasu percaya skuadnya kini semakin matang dan mampu bersaing di pentas tertinggi.
“Kami perlu ada pelbagai gaya permainan, sama ada menyerang secara perlahan atau serangan balas pantas. Saya yakin kami mampu melakukannya di Piala Dunia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Iraq mencipta detik emosional apabila menewaskan Bolivia 2-1 dalam aksi playoff antara benua di Mexico, sekali gus layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.
Kejayaan itu memastikan Asia menghantar rekod sembilan wakil ke kejohanan berkenaan.
Namun, tidak semua pasukan berada pada tahap terbaik.
Korea Selatan berdepan aksi hambar selepas tewas kepada Ivory Coast dan Austria, sekali gus memberi tekanan kepada jurulatih mereka untuk memuktamadkan skuad.
Sebaliknya, Australia mencatat dua kemenangan ke atas Cameroon dan Curacao, manakala Uzbekistan dan Jordan turut mempamerkan prestasi positif menjelang penampilan pertama mereka di Piala Dunia.
Iran pula mencatat keputusan bercampur apabila tewas kepada Nigeria sebelum bangkit membelasah Costa Rica 5-0.
Dalam masa sama, tekanan semakin memuncak terhadap jurulatih Arab Saudi selepas kekalahan kepada Mesir dan Serbia, manakala persiapan Qatar pula terganggu apabila aksi pemanas badan mereka terpaksa dibatalkan susulan konflik serantau.
Apa pun, tumpuan kini terarah kepada Jepun yang dilihat semakin hampir untuk muncul sebagai pencabar serius Asia di pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




