Tokyo: Kira-kira 7,000 farmasi dan kedai ubat di serata Jepun memulakan jualan pil perancang kecemasan secara terbuka pada Isnin tanpa sekatan umur atau keperluan keizinan ibu bapa, lapor Kyodo News.
Pil NorLevo ini berfungsi paling berkesan dalam tempoh 72 jam selepas hubungan seks tanpa perlindungan bagi menghalang kehamilan. Pembeli wajib mengambil ubat ini di hadapan ahli farmasi di premis pembelian. Walaupun sudah tersedia secara kaunter di banyak negara, Jepun sebelum ini mewajibkan preskripsi doktor bagi mendapatkan bekalan ubat ini.
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun menerbitkan senarai farmasi serta kedai ubat yang dibenarkan menyimpan stok kontraseptif kecemasan itu menerusi laman web rasmi mereka. Senarai ini merangkumi jumlah dan jantina ahli farmasi, serta ketersediaan mereka bagi sesi perundingan di luar waktu perniagaan.
NorLevo hanya dijual di premis yang memenuhi kriteria tertentu, termasuk keupayaan menjamin privasi dan kerjasama dengan pakar obstetrik serta gynaekologi berhampiran. Harga runcit cadangan adalah 7,480 yen (AS$50) sebiji dan ia tidak boleh dibeli secara dalam talian.
Ahli farmasi bertauliah akan menggunakan senarai semak bagi mengesahkan kesesuaian wanita mengambil ubat ini. Memandangkan ubat ini tidak menjamin pencegahan kehamilan sepenuhnya, wanita disyorkan menjalani ujian kehamilan atau berjumpa pakar sakit puan selepas tiga minggu.
Ubat ini hanya boleh dibeli oleh individu yang memerlukannya sahaja dan tidak dibenarkan untuk pihak ketiga atau lelaki.
Premis jualan juga boleh mengesyorkan individu berusia 16 tahun ke bawah atau wanita yang kerap membuat pembelian dalam tempoh singkat untuk mendapatkan sokongan di kemudahan kesihatan. Mereka turut akan menghubungkan mangsa kepada organisasi sokongan tempatan jika terdapat kaitan dengan serangan seksual atau penderaan.
Jualan ubat ini secara terbuka bagi wanita berusia 16 tahun ke atas telah diuji di farmasi terpilih seluruh negara sejak November 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




