Paris: Kontinjen Jepun melakar kejutan apabila meraih 20 pingat emas Olimpik Paris 2024 sekali gus mengatasi beberapa negara terkuat dunia lain dalam carta pungutan pingat.
Kejayaan memungut 20 pingat emas itu nyata di luar jangkaan Komiti Olimpik Kebangsaan Jepun yang hadir ke Paris dengan kekuatan atlet seramai 409 berbanding 552 orang ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2020 lalu.
Jepun menamatkan saingan di belakang Amerika Syarikat dan China manakala menolak Australia dan Perancis selaku tuan rumah di tangga keempat dan kelima keseluruhan.
“Ini pencapaian terbaik kami di Olimpik yang dilangsungkan di luar Jepun,” kata Timbalan Chef De Mission (CDM), Kosei Inoue dengan mengakui 10 pingat diraih menerusi acara baharu di temasya itu.
“Kami melihat ini sebagai pencapaian yang sangat besar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, biarpun saingan Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan Jepun meraih 27 emas, kemampuan meraih 20 emas di luar Jepun cukup menakjubkan.
“Saya fikir kejayaan pada 2020 lalu adalah disebabkan tidak ramai atlet yang sertai kerana sukar mendapatkan pelepasan keluar dari negara masing-masing ekoran pandemik Covid-19 ketika itu.
“Saya berpandangan kejayaan hari ini kerana kejayaan program pembangunan ketika Tokyo menjadi tuan rumah Olimpik edisi lalu sebagai kelebihan kami pada kali ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




