saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Beban hutang memudaratkan apabila skim pinjaman mudah, ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL)’ berpotensi menjadi ‘jerat kewangan baharu’ khususnya kepada ratusan ribu golongan muda negara ini.
Transaksi pinjaman jenis ini yang mudah tanpa memerlukan banyak dokumen sokongan menjadikan ia beban baharu buat golongan muda jika tidak dikawal sebaiknya.
Secara asasnya, BNPL tidak mengenakan kadar faedah berganda berikutan nilai faedah sudah dimasukkan dalam harga barang yang ingin dibeli pengguna.
Berbeza dengan kad kredit, kadar faedah dikenakan kepada pengguna sekitar 15 hingga 18 peratus tidak termasuk caj lewat bayar, caj pembayaran minimum dan caj lain.
Berbanding penggunaan kad kredit, skim BNPL tidak mempunyai kadar faedah berganda sebaliknya hanya mengenakan caj lewat bayar.
Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, BNPL ini tidak mengenakan faedah berganda dan caj lewat bayar sekitar RM20 hingga RM50 setiap kali kelewatan pembayaran.
Menurutnya, pengguna boleh memilih tempoh ansuran antara pembayaran penuh pada bulan berikutnya, ansuran tiga bulan, enam bulan dan 12 bulan mengikut penyedia fasiliti.
Katanya, fasiliti BNPL tidak memerlukan kelulusan kredit oleh agensi tertentu sebaliknya penyedia perkhidmatan akan meletakkan satu nilai secara bebas tanpa kawalan.
“Penggunaan kad kredit pula memerlukan kelulusan daripada skor kredit dan ia adalah satu proses yang sulit serta terkawal sebelum skim berkenaan boleh dinikmati oleh pengguna.
“Kadar faedah penggunaan kad kredit yang dikenakan sekitar 15 hingga 18 peratus setahun dan mempunyai faedah berganda lain contohnya caj lewat, faedah pembayaran minimum dan sebagainya.
“Walaupun hutang BNPL diklasifikasikan masih ter- kawal daripada sudut sistem kewangan negara namun peningkatan mendadak penggunaan skim itu mendedahkan risiko baharu terhadap kestabilan kewangan isi rumah, khususnya golongan muda dan berpendapatan rendah,” katanya.
Untuk rekod, data semasa menunjukkan transaksi BNPL di negara ini mencecah RM9.3 bilion membabitkan lebih 102 juta transaksi setakat separuh pertama tahun ini. Jumlah pinjaman tertunggak direkodkan sekitar RM4.2 bilion dengan RM147.7 juta daripadanya berada dalam kategori lewat bayar.
Biarpun kadar tunggakan ini masih rendah daripada perspektif makro, ia memberi gambaran jelas berhubung tekanan kewangan yang mula dirasai pengguna pada peringkat mikro.
Lebih membimbangkan, kira-kira 70 peratus pengguna BNPL terdiri daripada individu berpendapatan RM5,000 ke bawah manakala 40 peratus berusia bawah 30 tahun, menjadikan skim ini semakin sinonim dengan generasi muda yang masih membina asas kewangan.
Dr Barjoyai menyifatkan keadaan ini sebagai petunjuk awal kepada kelemahan disiplin kewangan apabila pinjaman menjadi terlalu mudah diakses tanpa pertimbangan kemampuan jangka panjang.
Menurutnya, masalah sebenar bukan sekadar pada BNPL sebagai produk, tetapi pada sistem kewangan yang memberi ruang terlalu luas kepada pemberian kredit.
“Ia menjadikan skim itu dianggap sebagai sebahagian daripada cara hidup.
“Hari ini, meminjam tidak lagi dilihat sebagai satu tanggungan, ia dianggap sekadar mendahulukan pembelian dengan andaian kapasiti kewangan akan sentiasa ada pada masa depan,” katanya.
Dalam konteks itu, langkah kerajaan memperkenalkan Akta Kredit Pengguna yang baharu dilihat penting untuk memperketat kawalan terhadap BNPL termasuk mewajibkan lesen sah kepada semua penyedia serta mengenakan denda dan tindakan terhadap pengendali tanpa lesen atau lesen tidak sah.
Dr Barjoyai berkata, penyedia kredit juga perlu dipertanggungjawabkan kerana mereka memainkan peranan besar menentukan had dan kapasiti pinjaman yang akhirnya menjerat pengguna.
Beliau turut menegaskan budaya berhutang yang berakar dalam sistem kewangan konvensional perlu dinilai semula.
” Sistem yang membolehkan institusi kewangan memaksimumkan pemberian kredit demi keuntungan sudah mewujudkan persekitaran di mana masyarakat sentiasa digalakkan untuk meminjam. Walaupun tanpa keperluan sebenar, jika struktur ini tidak diubah, kita akan terus terperangkap dalam kitaran hutang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




