Jerebu: Johor lanjut tempoh penutupan sekolah, institusi pendidikan lima hari bermula Isnin

Jerebu: Johor lanjut tempoh penutupan sekolah, institusi pendidikan lima hari bermula Isnin

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri itu, selama lima hari bermula Isnin ini hingga Jumaat depan, susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Johor, terutamanya murid-murid serta warga pendidikan.

“Setelah mengambil kira pelbagai faktor serta meneliti perkembangan semasa pencemaran udara akibat jerebu yang masih melanda negeri ini, Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari, bermula 12 Oktober hingga 16 Oktober,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, keputusan pelanjutan tempoh penutupan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor utama hasil penilaian situasi semasa, antaranya faktor pergerakan angin dan keadaan cuaca.

“Jangkaan pergerakan angin dari arah Kalimantan bagi tempoh 13 hingga 15 Oktober ini yang berpotensi membawa pencemaran udara rentas sempadan, sekali gus mempengaruhi tahap kualiti udara di Johor.

“Risiko peningkatan dan pengumpulan kepekatan partikel halus dalam atmosfera, khususnya bahan pencemar yang boleh menjejaskan sistem pernafasan serta memberikan kesan terhadap kesihatan murid dan golongan berisiko juga antara faktor yang diambil kira.

“Selain itu, faktor keadaan atmosfera yang statik iaitu faktor pergerakan udara yang perlahan serta keadaan atmosfera yang kurang membantu penyebaran bahan pencemar, sekali gus berpotensi menyebabkan jerebu berlarutan untuk tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Dr Muhammad Naqib berkata, pihaknya turut melihat tren bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor, yang mana sehingga kini bacaan dilaporkan antara sekitar 170 hingga 180, tanpa menunjukkan perubahan yang ketara, sekali gus memberikan gambaran bahawa tahap kualiti udara masih berada dalam kategori tidak sihat dan memerlukan pemantauan berterusan.

Katanya, selain itu, penelitian terhadap perkembangan serta laporan kesihatan berkaitan kesan pencemaran udara, khususnya risiko gangguan pernafasan dalam kalangan kanak-kanak, murid dan warga pendidikan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu juga diambil berat.

Menurut Dr Muhammad Naqib, kerajaan negeri berpandangan bahawa langkah pencegahan awal perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan risiko pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar, selain memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif sebelum sesi persekolahan secara bersemuka dapat diteruskan.

Mengulas mengenai aktiviti persekolahan, beliau berkata, bagi sekolah yang terbabit dengan pelaksanaan pentaksiran atau penilaian akademik sepanjang tempoh berkenaan, segala urusan berkaitan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkuasa pendidikan yang berkaitan.

Pada masa sama, katanya, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran murid tidak terjejas.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus mempergiat pemantauan terhadap perkembangan IPU dari semasa ke semasa, dan sebarang keputusan lanjut berhubung pengoperasian semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi selepas mengambil kira perkembangan kualiti udara serta penilaian keselamatan dan kesihatan semasa.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah waspada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top