Jerebu: Operasi pembenihan awan di Johor tumpu dua kawasan utama

Jerebu: Operasi pembenihan awan di Johor tumpu dua kawasan utama

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan Negeri Johor memberi tumpuan khusus kepada dua kawasan utama menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) Ke-61 bagi merangsang pembentukan hujan sekali gus mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, dua kawasan tumpuan berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga ke Kota Tinggi.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil usaha sama pelbagai agensi Persekutuan bagi memastikan kualiti udara dan kesihatan rakyat Johor terus terpelihara.

“Operasi ini adalah misi ke-61 dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor dengan membawa sebanyak lapan tan natrium klorida (garam) sebagai bahan pembenihan awan.

“Bagi negeri ini, tumpuan khas diberikan di kawasan Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga Kota Tinggi bagi merangsang pembentukan hujan yang diharapkan dapat membantu mengurangkan kepekatan partikel jerebu di udara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tian Soon berkata, beliau turut menyertai sendiri penerbangan OPA berkenaan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No 20 Skuadron TUDM yang popular dengan gelaran ‘The Rainmaker’.

Beliau turut berkongsi rasa kagum dan menyifatkan pengalaman menyertai penerbangan itu memberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat kecekapan serta komitmen tinggi semua petugas yang terbabit.

“Pengalaman ini memberi saya peluang melihat kecekapan, kepakaran dan komitmen anggota TUDM serta METMalaysia dalam melaksanakan operasi yang memerlukan perancangan teliti, penyelarasan antara agensi dan keadaan cuaca yang bersesuaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top