Georgetown: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah di negeri berkenaan supaya meningkatkan kesiapsiagaan dalam aspek penjagaan, kebajikan dan keselamatan murid serta warga pendidikan ketika menghadapi situasi jerebu.
JPNPP memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri dari semasa ke semasa sementara semua sekolah diminta memantau bacaan IPU secara berterusan serta peka terhadap sebarang amaran dan perkembangan semasa.
“Semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 bagi mengurangkan pendedahan murid kepada keadaan udara yang tidak sihat dan sekolah juga perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.
“Sekiranya bacaan IPU melebihi 500, guru dan anggota kumpulan pelaksana tidak perlu hadir ke sekolah, tertakluk kepada ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
JPNPP turut mengarahkan pihak sekolah untuk memastikan bekalan air minuman mencukupi, menggalakkan murid minum air secukupnya serta mengurangkan pendedahan kepada udara luar.
Kenyataan itu turut memaklumkan perhatian khusus perlu diberikan kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan atau menunjukkan simptom tidak sihat dan menggalakkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan murid serta warga sekolah sebagai langkah berjaga-jaga mengikut kesesuaian.
“Sekolah juga perlu melaporkan perkembangan situasi dan tindakan yang diambil kepada PPD dan JPNPP bagi membolehkan pemantauan serta penyelarasan tindakan dilaksanakan di peringkat negeri,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Minden, Seberang Perai dan Balik Pulau di Pulau Pinang antara 29 kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 2 petang ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
