najiy_jefri@hmetro.com.my
Kenangan Ramadan sering kali membawa kita kembali ke zaman kanak-kanak, apabila suasana berbuka puasa di rumah bersama keluarga menjadi detik yang paling dirindui.
Makanan kegemaran, laungan azan yang menandakan waktu berbuka dan detik-detik bersahur bersama ibu bapa adalah antara memori tidak dapat dilupakan.
Harian Metro kongsikan kenangan dan pengalaman menarik penyanyi popular, Aina Abdul sepanjang menjalani ibadah puasa.
Pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?
Semestinya berkumpul dengan keluarga, terutama pada hari pertama Ramadan. Kebiasaannya, saya akan cuba meluangkan masa bersama keluarga memandangkan saya bekerja di Kuala Lumpur. Lagipun, sudah beberapa bulan saya tidak berjumpa dengan mereka.
Pada usia berapa mula berpuasa penuh?
Saya sebenarnya agak lambat berpuasa penuh. Kalau tidak silap, saya berjaya berpuasa pada jumlah hari yang banyak ketika di sekolah menengah. Waktu kecil, saya selalu mencari alasan seperti penat. Tetapi, apabila sudah besar, kalau boleh penuh, saya akan cuba penuhkan puasa itu. Rasanya, saya berjaya berpuasa penuh ketika usia 13 tahun.
Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?
Juadah wajib selalunya kena ada kurma. Tapi, makanan kegemaran saya adalah nasi ayam. Selain itu, apa saja juadah masakan ibu sudah semestinya menjadi pilihan utama saya.
Memori ketika bersahur ketika kanak-kanak?
Saya tidak boleh lupakan ketika ibu mengejutkan saya untuk bangun sahur. Saya ini jenis suka bersahur pada saat-saat akhir. Kalau azan jam enam pagi, pukul 5.40 baru saya mula makan. Saya juga masih ingat lagi bagaimana ibu menjerit satu rumah untuk memastikan saya bangun.
Detik-detik ini menjadi memori manis buat saya. Kini, apabila sudah dewasa, kita kena bangun sendiri untuk bersahur.
Apakah cabaran terbesar ketika berpuasa?
Apabila ada jemputan menyanyi ketika berpuasa. Ia agak mencabar kerana perlu menyanyi tanpa minum air. Namun, setakat ini cabaran itu masih boleh ditangani. Selalunya, ketika sahur, saya akan pastikan minum air secukupnya.
Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?
Agak berbeza tahun ini kerana usia pun sudah mencecah 32 tahun. Tanggungjawab semakin bertambah, terutama dalam menguruskan puasa sendiri kerana tiada lagi yang akan mengejutkan untuk bangun sahur atau bertanya sudah berbuka puasa atau belum. Pergi solat tarawih pun seorang diri saja. Kebanyakannya saya lakukan sendiri.
Namun, saya tidak melihat ini sebagai kekangan. Sebaliknya sebahagian daripada proses kedewasaan. Saya gembira dengan perubahan ini kerana dapat melatih diri menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap rutin harian.
Apakah perubahan positif yang diharap dapat diteruskan selepas Ramadan?
Apabila sudah menjengah usia 32 tahun ini, saya mahu rajinkan diri untuk pergi ke masjid. Saya ingin memastikan diri kekal istiqamah dan teruskan amalan ini. Tambahan pula, kerjaya saya sebagai penyanyi membuatkan waktu kerja tidak menentu hingga ibadah kepada Allah tidak begitu teratur. Ini perubahan yang saya ingin cuba lakukan untuk mempertingkatkan ibadah saya.
Apakah kenangan paling berharga ketika solat tarawih?
Ketika kecil, saya akan solat di sebelah ibu dan suka mengusik beliau ketika sedang solat. Waktu itu, mana nak faham, jadi saya akan kerap bertanya kepada ibu sudah rakaat ke berapa. Kenangan kecil ini sangat berharga kerana ibu selalu mengingatkan supaya tidak membuat bising di masjid.
Berapa rakaat biasanya anda lakukan ketika solat tarawih?
Selalunya, saya akan melakukan lapan rakaat dan diikuti tiga witir.
Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?
Walaupun berpuasa, saya tetap akan ke gimnasium. Ia aktiviti wajib yang tidak boleh ditinggalkan. Saya suka ke gimnasium pada waktu petang, kemudian bersedia untuk berbuka puasa. Bagi saya, ia mengubah kehidupan walaupun ada yang berpendapat berpuasa saja sudah cukup untuk menurunkan berat badan.
Namun, saya tetap ke gimnasium kerana ia sebahagian daripada latihan kecergasan untuk kekal sihat dan mendapatkan berat badan yang ideal. Rutin ini sudah menjadi kewajipan selama bertahun-tahun.
Lebih suka berbuka puasa di rumah, gerai atau secara berbufet?
Saya memilih berbuka puasa di rumah, tetapi saya suka pergi ke Bazar Ramadan. Berbuka di rumah lebih menyeronokkan kerana boleh menjadi diri sendiri dan bersantai sambil menonton televisyen. Saya juga lebih tenang di rumah tanpa perlu risau jika ada yang memerhati.
Sajian paling disukai ketika bersahur?
Saya suka nasi goreng dan selalunya akan memasak sendiri juadah bersahur. Selalunya saya menggunakan semula nasi yang masih ada ketika berbuka. Resipi saya ringkas saja iaitu tumbuk cili padi dengan bawang putih sehingga lumat, kemudian tumis, letak telur, nasi dan kiub pati ikan bilis.
Sudah buat persiapan raya atau belum?
Belum ada sebarang persiapan raya, cuma saya dan ahli keluarga sudah memilih tema warna raya tahun ini. Namun, persiapan lain belum ada kerana saya dan keluarga memang suka membeli pada saat-saat akhir.
Kadang-kadang, malam raya pun masih sibuk membuat persiapan kerana ada yang belum dibeli.
© New Straits Times Press (M) Bhd
