am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: “Kalau bukan kerana jiran menjerit ada api, kami sekeluarga mungkin menjadi korban dalam kebakaran ini,” kata seorang mangsa kebakaran penempatan setinggan di Kampung Cempaka, Likas, yang memusnahkan kira-kira 80 rumah hari ini.
Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar, Alfadra Datu Ahmad Madja, 37, berkata, dia bersyukur kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa walaupun tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, sebaik selesai solat Subuh, dia terkejut apabila terdengar jeritan penduduk kampung yang memaklumkan penduduk supaya menyelamatkan diri masing-masing.
“Saya terdengar orang berteriak di luar rumah dan apabila meninjau dari tingkap, saya melihat beberapa rumah berhampiran sudah terbakar.
“Saya segera mengejutkan orang rumah rumah iaitu isteri, anak dan mentua saya untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Alfadra berkata, dia bersyukur kerana semua dokumen penting yang disimpan di dalam beg sempat dibawa keluar.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga buntu dan masih terkejut memandangkan hanya keluar sehelai sepinggang dan tiada barangan lain dapat diselamatkan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nurmina Abdul Rahim, 36, berkata, dia tersedar apabila dikejutkan oleh anak perempuannya yang berusia 15 tahun.
Katanya, sebaik keluar dari rumah, api sudah membakar belakang rumah jiran dan terus mengetuk pintu mereka.
“Saya ketuk pintu sekuat-kuatnya supaya mereka sekeluarga sedar dan selamatkan diri.
“Jiran mempunyai seorang anak yang masih bayi. Syukur kerana dimaklumkan mereka juga sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5 pagi itu, sebanyak 80 rumah dilaporkan musnah terbakar membabitkan 669 mangsa dari 139 keluarga.
Difahamkan, kebakaran melibatkan kawasan penempatan setinggan seluas kira-kira 250 meter persegi.
© New Straits Times Press (M) Bhd