Boston: Jerman tidak mempunyai pilihan selain meraih kemenangan apabila membuka kempen Piala Dunia 2026 menentang Curacao dalam aksi Kumpulan E, awal pagi esok.
Selepas dimalukan dengan tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua edisi berturut turut sebelum ini, juara dunia empat kali itu kini bertekad memulihkan semula reputasi yang tercalar di pentas antarabangsa.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann tetap memasang impian memburu gelaran dunia kelima meskipun mereka tidak dianggap antara calon utama untuk menjulang trofi kali ini.
Di atas kertas, Curacao dilihat lawan paling mudah buat Jerman apabila negara kecil Caribbean itu muncul pasukan dengan ranking paling rendah dalam kalangan peserta Piala Dunia 2026. Ecuador dan Ivory Coast turut menghuni Kumpulan E.
Jerman hadir dengan keyakinan tinggi apabila mencatat sembilan kemenangan berturut turut termasuk membelasah Finland 4-0 dalam aksi persahabatan sebelum menewaskan tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, 2-1.
Pengarah pasukan kebangsaan Jerman, Rudi Voeller berkata kemenangan dalam aksi pembukaan amat penting untuk memastikan perjalanan mereka lebih lancar.
“Kami bukan antara pilihan utama kerana ada tiga atau empat pasukan lain yang dilihat lebih kuat. Namun kami tahu betapa pentingnya untuk memulakan kejohanan dengan kemenangan.
“Kami mahu menjadi pasukan yang sukar ditewaskan, menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dan terus mara jauh dalam fasa kalah mati,” katanya.
Sebarang keputusan selain kemenangan dijangka mengundang tekanan besar terhadap Jerman memandangkan penyokong mereka sudah muak melihat kegagalan berulang dalam dua Piala Dunia terdahulu.
Sementara itu, jurulatih berpengalaman Curacao, Dick Advocaat yang bakal mencipta sejarah sebagai pengendali tertua di Piala Dunia pada usia 78 tahun, mengakui Jerman adalah pilihan mutlak tetapi enggan menyerah kalah sebelum bertarung.
“Jerman sememangnya pilihan utama kumpulan ini. Mereka masih sebuah kuasa besar bola sepak dunia.
“Memulakan kejohanan menentang Jerman adalah sesuatu yang hebat kerana kami akan terus mengetahui di mana tahap sebenar kami,” katanya.
Dengan kehadiran pemain bertaraf dunia seperti Kai Havertz, Florian Wirtz dan Manuel Neuer, Jerman sedar peluang untuk menghantar mesej awal kepada pencabar lain terbuka luas, namun mereka juga tahu satu lagi langkah sumbang boleh kembali mengundang mimpi ngeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




