firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tonggak baharu warisan negara meluahkan keazaman untuk terus berjuang bersama skuad Harimau Malaya dalam misi meraih tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti.
Menerusi perkongsian di laman sosial masing-masing, kesemua lima tonggak warisan mengakui sudah tidak sabar untuk kembali menyarung jersi Malaysia dalam aksi antarabangsa seterusnya.
Penyerang berdarah Argentina-Malaysia, Rodrigo Holgado antara pemain yang berjanji akan terus mengharumkan nama negara dan sanggup berkorban meninggalkan anak dan isteri terbang jauh beribu batu untuk skuad negara.
“Sangat gembira untuk mewakili negara yang indah dan memenuhi impian dalam kerjaya bola sepak saya.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, terima kasih kepada rakan sepasukan saya atas kerjasama, badan teknikal dan rakyat Malaysia yang membuatkan saya berasa sangat gembira dari hari pertama.
“Saya berjanji untuk terus mempertahankan jersi negara sehingga ke penghujung yang saya selalu lakukan di mana termasuk meninggalkan kehidupan (keluarga) untuk membantu pasukan meraih gelaran,” katanya yang kini beraksi di Colombia.
Nada sama diungkapkan tonggak pertahanan Sepanyol-Malaysia, Jon Irazabal yang akui sudah bersedia menanti perlawanan berikutnya pada jendela aksi antarabangsa September nanti serta Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.
“Satu penghormatan menyarung jersi Malaysia dalam penampilan sulung saya. Terima kasih di atas sokongan yang hebat, semuanya tampak mudah apabila sentiasa mendapatkan sokongan pasukan.
“Saya amat menghargai peluang diberikan dan saya bersedia untuk pertarungan berikutnya selepas ini,” kata Irazabal yang membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan bersama seorang lagi pemain warisan baharu, Facundo Garces.
Buat seorang lagi pemain warisan sayap negara, Imanol Machuca, kejayaan skuad kendalian Peter Cklamovski membelasah Vietnam 4-0 dalam Kelayakan Piala Asia 2027, Selasa lalu hanyalah permulaan dan dia mahu terus menyumbang kepada pasukan.
“Malam yang tidak akan dilupakan, terima kasih atas sokongan semua. Ini hanyalah permulaan baharu,” kata Machuca.
Skuad negara ketika ini dalam landasan tepat untuk layak ke Piala Asia 2027 selepas menduduki tangga pertama Kumpulan F dengan enam mata maksimum daripada dua aksi dilalui setakat ini.
Sebelum ini skuad Harimau Malaya turut menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama Mac lalu. Hanya juara kumpulan sahaja akan meraih slot ke Piala Asia 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd