Jessica juara di Austin, gelaran ketujuh dalam karier

Jessica juara di Austin, gelaran ketujuh dalam karier

Los Angeles: Pemain nombor empat dunia, Jessica Pegula mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih gelaran WTA pertamanya bagi 2025 selepas menewaskan McCartney Kessler 7-5, 6-2 dalam perlawanan akhir sesama pemain Amerika Syarikat (AS) di Terbuka ATX di Austin, semalam.

Jessica yang juga pilihan pertama meraih gelaran ketujuh WTA dan yang pertama sejak memenangi kejohanan di Toronto, tahun lalu.

Ia adalah satu satu daripada dua gelaran Jessica pada kempen 2024 yang turut menyaksikan dia layak ke final Terbuka AS.

Jessica menghentikan kemaraan McCartney, bintang semakin meningkat yang sebelum ini memenangi dua gelaran WTA dalam dua perlawanan akhir pertamanya iaitu di Cleveland pada Ogos lalu dan Hobart pada Januari.

Pemain berusia 25 tahun itu tiba di Austin dengan penuh keyakinan selepas meraih kemenangan terbesar dalam kariernya dengan menewaskan Coco Gauff, pemain ranking 10 teratas, di pusingan kedua di Dubai.

Namun, McCartney gagal mencari jalan untuk menundukkan Jessica yang memecahkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan akhir untuk meraih gelaran penting sebelum kejohanan Indian Wells dan Miami.

Jessica yang juga satu-satunya pemain ranking 10 teratas dalam undian kejohanan, hanya kehilangan satu set sepanjang minggu.

McCartney pada awalnya menunjukkan tanda mampu mengubah keadaan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mendahului 4-2 dalam set pertama.

Bagaimanapun, kesilapan sendiri yang terlalu banyak memberi peluang kepada Jessice untuk kembali menguasai permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top