Charleston: Jessica Pegula mempertahankan kejuaraan Terbuka Charleston dengan kemenangan bergaya 6-2, 6-2 ke atas Yuliia Starodubtseva dalam aksi final, awal pagi tadi.
Pemain pilihan utama itu hanya mengambil masa 82 minit untuk menewaskan lawannya, sekali gus meraih gelaran kedua musim ini dan ke-11 sepanjang karier.
Jessica yang kini mendahului senarai kemenangan WTA musim ini dengan 24 kemenangan, mempamerkan aksi konsisten apabila berjaya menyelamatkan tujuh daripada lapan mata ‘break’ lawan selain memanfaatkan lima daripada enam peluang ‘break’ miliknya.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain paling konsisten musim ini, mengatasi pencabar utama Aryna Sabalenka.
Bagi Yuliia, kejohanan ini tetap menjadi titik kebangkitan apabila dia mara ke final selepas lima kemenangan berturut-turut, meskipun tewas akibat melakukan terlalu banyak kesilapan mudah.
Dalam satu lagi kejohanan, Marie Bouzkova muncul juara Copa Colsanitas di Bogota selepas menewaskan Panna Udvardy 6-7, 6-2, 6-2.
Kemenangan itu menjadi gelaran ketiga dalam karier Marie dan yang pertama di luar negaranya, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam karier pemain Republik Czech itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



