Jessie J sah hidap kanser payudara

Jessie J sah hidap kanser payudara

Las Vegas: Penyanyi terkenal antarabangsa, Jessie J, 37, mendedahkan dirinya menghidap kanser payudara tahap awal dan bakal berehat seketika daripada dunia seni.

Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Jessie J atau nama sebenarnya Jessica Ellen Cornish, berkata, dia ingin memberi tumpuan kepada rawatan serta pembedahan yang akan dijalani dalam masa terdekat.

“Saya didiagnosis menghidap kanser payudara tahap awal. Kanser memang menakutkan dalam apa jua bentuk, tetapi saya pegang pada satu perkataan ‘awal’.

“Selepas konsert Summertime Ball, saya akan menjalani pembedahan dan akan berehat buat seketika. Tapi saya janji akan kembali dengan muzik yang lebih hebat dan lebih banyak,” katanya.

Konsert Summertime Ball bakal berlangsung di Stadium Wembley, London, pada 15 Jun ini.

Penyanyi itu juga berkongsi kisahnya kepada umum untuk memberi kekuatan kepada pesakit lain yang mungkin sedang melalui nasib yang sama.

“Saya tahu betapa besar kuasa berkongsi kisah sebenar. Ia bukan saja membantu saya untuk kuat, tetapi juga mungkin membantu orang lain yang sedang bertarung seperti saya.

“Dulu pun, perkongsian orang lain yang jujur pernah beri saya kekuatan. Ramai yang beri cinta, doa, dan mereka turut kongsi kisah mereka sendiri. Itu semua sangat bermakna buat saya,” katanya.

Walaupun akan berehat seketika, Jessie percaya dia bakal kembali ke pentas dengan semangat dan suara yang lebih bermakna.

“Saya akan kembali. Tapi kali ini dengan jiwa yang lebih kuat. Bila saya berdiri semula di atas pentas nanti, suara saya bukan sekadar nyanyian, tapi luahan hati seorang pejuang,” ujarnya.

Untuk rekod, penyanyi lagu Price Tag itu sudah merakam lima album studio dan album terakhirnya bertajuk This Christmas Day diterbitkan pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top