Jet latihan Tentera Udara Bangladesh terhempas di sekolah, seorang maut

Jet latihan Tentera Udara Bangladesh terhempas di sekolah, seorang maut
Anggota bomba memeriksa serpihan pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh yang terhempas di kawasan sekolah di Dhaka, Bangladesh, pada Isnin.

Anggota bomba memeriksa serpihan pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh yang terhempas di kawasan sekolah di Dhaka, Bangladesh, pada Isnin.

DHAKA– Sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas di kawasan sekolah di utara Dhaka pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan ramai yang lain, menurut kenyataan tentera dan pihak bomba.

Insiden berlaku di Sekolah dan Kolej Milestone yang terletak di kawasan perumahan Uttara ketika sesi pembelajaran dan peperiksaan sedang berlangsung.

Rakaman televisyen menunjukkan api dan asap tebal menjulang dari tapak nahas.

Saluran Jamuna TV melaporkan sekurang-kurangnya 13 individu, termasuk pelajar, mengalami kecederaan.

Akhbar tempatan berbahasa Bengali, Prothom Alo, pula melaporkan kebanyakan mangsa adalah pelajar yang melecur teruk, dan sekurang-kurangnya 20 orang telah dikejarkan ke hospital.

Suasana panik menyelubungi lokasi kejadian apabila ibu bapa dan ahli keluarga bergegas ke sekolah. Beberapa mangsa dibawa ke hospital menggunakan beca roda tiga dan apa sahaja kenderaan yang sempat dicapai.

Rafiqa Taha, pelajar sekolah terbabit yang tidak hadir ketika kejadian, memberitahu Associated Press melalui panggilan telefon bahawa institusi itu mempunyai sekitar 2,000 pelajar daripada peringkat rendah sehingga ke tingkatan 12.

“Saya sangat terkejut melihat video di televisyen. Ya ALLAH, itu sekolah saya,” kata pelajar berusia 16 tahun itu.

Menurut kenyataan ringkas Pejabat Perhubungan Awam Tentera Darat Bangladesh, pesawat yang terhempas dikenal pasti sebagai F-7 BGI milik Tentera Udara.

Pegawai bomba, Lima Khanam, mengesahkan seorang maut dan empat lagi cedera, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai mangsa.

Siasatan berhubung punca nahas sedang dijalankan. – Agensi

Scroll to Top