Bukit Mertajam: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan ceramah agama di Masjid Taman Semilang, Seberang Jaya di sini yang sepatutnya berlangsung malam tadi, dibatalkan kerana tiada kebenaran dan penceramah tiada tauliah sah.
Pengarah JHEAIPP Marzuki Hassan berkata ceramah pada 6.30 petang itu diarah dibatalkan selepas pihaknya menerima aduan mengenai penganjurannya yang tidak memenuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Pihak masjid tidak membuat permohonan untuk menjadi penganjur dan penceramah pula tidak mempunyai tauliah, ia telah melanggar Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998.
“Ketetapan MAINPP bertarikh 23 Mac 2023 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut menetapkan hanya individu yang mempunyai tauliah atau kebenaran bertulis dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang penceramah mempersoalkan program wacana ilmu bersama penceramah bebas yang dijadualkan di Masjid Sembilang di sini pada malam tadi, didakwa dibatalkan pada saat akhir.
Marzuki berkata ceramah itu juga telah melanggar Kaedah 15 dan 16(1) Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Yang Berkaitan Dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998 yang mewajibkan kelulusan JHEAIPP serta permohonan rasmi menerusi Borang 3 kepada Pengarah JAIPP.
Beliau berkata pihaknya turut mengingatkan bahawa tindakan seperti itu boleh dianggap menghina pihak berkuasa agama, justeru menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang sedia ada dan memastikan segala program keagamaan di masjid serta surau diadakan mengikut prosedur ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd