'Jika ada yang ambil tanah kubur, mohon ampun dengan Allah' – Bapa Nurly

'Jika ada yang ambil tanah kubur, mohon ampun dengan Allah' – Bapa Nurly

am@hmetro.com.my

Besut: Pengunjung diminta menjaga adab ketika menziarahi kubur penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman serta tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Bapanya, Azman Mohamad, 63, berkata, dia tidak menghalang orang ramai daripada menziarahi kubur arwah di Tanah Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini.

Katanya, namun mereka perlu menjaga adab tatasusila ketika menziarahi kawasan perkuburan berkenaan.

“Saya tidak pasti (dakwaan ambil tanah kubur) kerana banyak masa berada di rumah namun sekiranya ada individu berkenaan berbuat demikian perlu minta maaf serta mohon ampun dengan Allah.

“Tindakan mengambil tanah kubur untuk dijadikan sebagai azimat bertentangan dengan ajaran Islam kerana boleh mendatangkan khurafat serta syirik dan berdosa besar.

“Cukup sekadar sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah tidak perlu melakukan perkara tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, di sini, hari ini.

Katanya, kawasan tanah perkuburan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Agama Daerah Besut.

“Namun pihak keluarga mengambil tindakan untuk pasang tali penghadang bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Sekarang ini ada wakil dari Pejabat Agama Daerah Besut membuat rondaan waktu malam di kawasan kubur untuk mengelakkan daripada berlaku perkara tidak sepatutnya.

“Kita bimbang jika keadaan tidak terkawal pihak berkenaan boleh mengambil keputusan untuk mengunci pintu pagar tanah perkuburan ini,” katanya.

Katanya, mereka juga turut memohon maaf daripada orang ramai yang datang menziarahi sekiranya layanan tidak memuaskan.

“Jumlah pengunjung setiap hari sangat ramai… kadang-kadang tidak terlayan semua orang, saya mewakili pihak keluarga mohon maaf sekiranya berlaku sebarang kekurangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top