Pelakon sensasi Uqasha Senrose meminta pihak yang menyebarkan dakwaan bahawa perkahwinannya dengan aktor Kamal Adli di ambang perpisahan untuk mengemukakan bukti yang kukuh.
Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dia tidak pernah hadir mahkamah syariah, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Kalau saya ke mahkamah syariah, mestilah ada nama saya di sana. Jika benar cerita saya sudah sampai mahkamah, berilah bukti. Mahkamah mana? Memang saya tak pergi, demi Allah.
“Saya pun tengah sibuk dengan anak. Bila masa pula timbul dakwaan saya patah balik, mana ada yang buat macam itu. (Kalau) sudah ke mahkamah, pergi teruslah.
“Sudah tentu saya nafikan dakwaan tersebut sepenuhnya. Insya-Allah selagi boleh kami berdua mahu jaga sebaik-baiknya rumah tangga ini,” katanya kepada XTRA.
Uqasha ditemui usai pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana, pada Khamis.
Kakak kepada pelakon Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose itu turut menegaskan bahawa dia enggan melayan spekulasi yang tidak berasas, selain tidak merasakan ada perkara yang perlu dirisaukan mengenai gosip berkenaan.
“Saya tak rasa apa-apa pun. Apa yang hangat diperkatakan adalah perkara yang tidak berasas. Selagi benda belum jadi atau tidak benar, tiada apa perlu dirisaukan.
“Saya pun tak terfikir nak ambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bercakap. Mulut orang mana kita tak boleh nak tutup.
“Paling penting hubungan saya dan suami juga dalam keadaan baik. Saya pun tahu kisah kononnya saya ke mahkamah daripada Kamal yang ditanya media baru-baru ini,” katanya.
Dalam masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu merasakan tidak perlu terlalu berkongsi kisah peribadi kepada umum kerana bimbang dengan penyakit ain.
Baginya, setiap perkahwinan pasti ada pasang surut, tidak kira status atau latar belakang.
“Dalam rumah tangga ini tidak semua indah belaka. Takkan saya nak ceritakan hal dalam kain pula kepada orang luar.
“Perlukah saya kongsi gambar untuk menunjukkan masih bersama Kamal? Saya tak perlu buat semua itu untuk memuaskan hati semua orang,” jelasnya.
Sebelum ini, nama Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi perhatian selepas timbul spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka bermasalah.
Pasangan ini berkahwin pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Hawra Uqaira, yang kini berusia 10 bulan.




