Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri yang baru-baru ini mencuri perhatian netizen dengan perkongsian mengenai pembelian sebuah jet peribadi bernilai jutaan ringgit, memaklumkan satu pengumuman rasmi akan dibuat Jumaat ini.
Ahli perniagaan yang turut bergelar penyanyi itu menjelaskan dia masih belum dapat mendedahkan sepenuhnya tentang isu melibatkan jet peribadi kerana ia melibatkan banyak pihak serta pelbagai pertimbangan lain.
“Sejujurnya, jika saya beritahu nanti orang kata riak, kalau beritahu juga cukai kejar. Tapi, kalau nak tahu mengenai jet peribadi itu, Jumaat nanti saya akan umumkan. Sekarang ini saya tak mahu cerita lebih lanjut, doakan yang baik-baik sahaja.
“Kenapa Jumaat, sebab perkara ini membabitkan ramai orang kerana nilainya (jet peribadi) jutaan ringgit. Jadi, kita tunggu hari Jumaat, saya harap rakyat Malaysia doakan yang terbaik.
“Bila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain, jadi tunggu hari Jumaat sahaia. Sekarang saya tak keluarkan apa-apa kenyataan lagi, tunggu hari Jumaat,” katanya kepada XTRA.
Aliff ditemui pada sesi minum petang bersama media di kediamannya di Kota Damansara, semalam.
Tambah pelantun suara lagu Abang Nak Tegur itu, memiliki jet peribadi merupakan impian yang sudah lama disimpan dan segala perkongsian di media sosial hanyalah sekadar coretan perjalanan hidupnya.
“Jet peribadi ini memang impian saya dari dulu, setiap orang juga ada impian. Bila cerita mengenai jet peribadi ini viral saya tak sangka sebab saya hanya berkongsi mengenai kisah hidup.
“Tapi untuk tahu lebih lanjut, perlu tunggu hari Jumaat sebab itu adalah hari penentu. Bila bekerja dengan ramai orang dan ia bukan sesuatu yang murah.
“Ini adalah bisnes dan perkara besar. Ramai orang salah tafsir dan cakap saya macam-macam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff tidak menafikan perniagaan jeruk mangga harumanis yang diusahakan bersama keluarganya sejak awal tahun ini turut memainkan peranan besar dalam kejayaan tersebut.
“Sejujurnya saya jual jeruk mangga ini secara kecil-kecilan, tak ada pun niat nak tunjuk hasil jualan itu saya dapat beli jet. Saya teruja kerana macam mana jualan jeruk itu boleh dapat jutaan ringgit.
“Bukan senang kerana saya hanya berniaga secara dalam talian dan orang memandang rendah kerana jualan begini orang kampung sahaja.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang menyokong saya kerana jualan ini sudah kumpul jutaan ringgit. Walaupun ia sekadar jeruk, tapi ini sungguh bermakna,” katanya lagi.
Terdahulu, timbul desas-desus Aliff berjaya memiliki jet peribadi adalah hasil usaha bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan, melalui perniagaan jeruk mangga.
Dalam satu video di Instagram, Aliff turut berkongsi detik menaiki jet berwarna hitam itu bersama isteri dan anak.