Jika BN, Pas ‘dua kali lima’, PH pilihan terbaik pengundi – Chin Tong

Jika BN, Pas ‘dua kali lima’, PH pilihan terbaik pengundi – Chin Tong

SHAH ALAM – Pengundi yang sebelum ini menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana menolak Barisan Nasional (BN) dijangka melihat Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan terbaik sekiranya UMNO dan Pas dianggap sebagai ‘dua kali lima’.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, persepsi bahawa UMNO dan Pas tidak mempunyai banyak perbezaan itu dijangka mendorong kumpulan pengundi berkenaan mengalihkan sokongan mereka kepada PH.

“Saya percaya, sebahagian daripada mereka akhirnya akan membuat kesimpulan bahawa PH adalah pilihan yang lebih baik sedikit.

“Bukan sekadar kerana tidak banyak pilihan lain, tetapi kerana PH sudah terbukti sebagai kerajaan yang berwibawa di peringkat Persekutuan,” katanya dalam hantaran Facebook pada Selasa.

Pada Ahad, Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditanding PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16

Chin Tong berkata, Pas dilihat tidak serius bertanding pada PRN Johor, malah meminta ahli-ahlinya menyokong calon BN, sekali gus mendedahkan strategi parti itu untuk bekerjasama dengan UMNO.

Beliau berpandangan, strategi Pas pada masa ini cuba memberi kelebihan kepada BN di kerusi yang ditandingi PH.

Menurutnya, kedua-dua PH dan BN bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, manakala Pas pula hanya mencuba nasib di 11 kerusi sahaja secara berasingan.

Beliau mendakwa UMNO dan Pas mengandaikan bahawa ramai pengundi Melayu akan menyokong calon-calon BN dengan menonjolkan agenda perpaduan Melayu Islam, selain menjadikan DAP sebagai momok.

“Harapan UMNO dan Pas ialah pengundi Melayu akan memilih BN, walaupun ironinya, mereka juga mahu pengundi Melayu turut memilih calon-calon bukan Islam MCA dan MIC bagi membolehkan BN menang besar,” ujarnya lagi.

Chin Tong berkata, naratif dan strategi itu menjadi pendirian mantan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang lantang menyatakan beliau tidak akan duduk semeja dengan DAP agar BN Johor memperoleh kemenangan besar.

“Tujuannya adalah untuk membangkitkan sentimen kaum dalam kalangan orang Melayu, dengan menjadikan DAP sebagai musuh, agar BN Johor memperoleh kemenangan besar,” kongsinya.

Menurutnya, mantan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberitahu memang ada percubaan UMNO berunding untuk meminta Pas supaya tidak bertanding di Johor demi menjayakan strategi itu.

“Namun, kedua-dua parti ini mudah lupa. Mereka lupa tentang kejayaan sendiri sebelum ini. Mengapa Pas menang besar di negeri-negeri utara Semenanjung pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018? Mengapa PN berjaya memenangi banyak kerusi pada PRU 2022?,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan PN pada PRU 2018 dan PRU 2022 adalah kerana sentimen orang Melayu yang menolak Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO yang dikaitkan dengan rasuah.

Menurutnya, walaupun hubungan Pas dengan Najib menjadi rapat selepas pemergian Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Februari 2015, kempen dan serangan Pas pada PRU 2018 tertumpu kepada Najib, manakala pada PRU 2022 pula menjadikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sasaran serangan.

“Mengapa terjadi begitu? Kerana mereka memahami kehendak pengundi Melayu. Mereka tahu orang Melayu ketika itu tidak menyokong UMNO pada dua PRU tersebut,” kata beliau.

Chin Tong berpandangan, kejayaan Pas dalam pilihan raya selama ini banyak bergantung kepada kelemahan UMNO, iaitu kegagalan pentadbiran dan fenomena rasuah dalam UMNO.

“Keadaan ini amat jelas pada PRU 2022 apabila kalangan pengundi Melayu sederhana dan sebahagian besar pengundi bukan Melayu menolak UMNO untuk memilih PH.

“Bagi pengundi Melayu yang lebih konservatif pula, mereka yang menolak UMNO memilih PN,” kata beliau.

Justeru, beliau menambah, pengundi Johor yang tidak mahu menyokong BN, maka mengundi PH adalah alternatif yang lebih baik.

“Mereka yang menolak BN di Johor hari ini sedar bahawa undi untuk BN sama seperti undi untuk PAS, dan sebaliknya.

“Tambahan pula, bukan sahaja pengundi bukan Melayu yang melihat fenomena “undi BN dapat PAS”, malah orang Melayu Johor sendiri masih ragu-ragu dengan Pas,” menurut beliau lagi.

Scroll to Top