Jika bukan jenayah perang, maka apa? – Bekas PM Israel

Jika bukan jenayah perang, maka apa? – Bekas PM Israel

TEL AVIV – Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert telah mengecam kepimpinan politik negaranya serta tindakan ketenteraan terhadap Gaza, dan mengakui kepada CNN bahawa beliau tidak lagi mampu mempertahankan Israel daripada tuduhan melakukan jenayah perang.

Olmert yang menerajui Israel dari 2006 hingga 2009 merujuk kepada sekatan selama 11 minggu terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza serta angka kematian rakyat Palestin yang semakin meningkat.

“Kalau ini bukan jenayah perang, maka apa?” soal beliau dalam wawancara bersama CNN pada Selasa.

Beliau mendakwa bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu serta menteri-menteri kanan berhaluan kanan ekstrem melakukan tindakan yang tidak boleh ditafsirkan dengan cara lain.

Sepanjang perang ini, Olmert sebelum ini mempertahankan Israel di pentas antarabangsa daripada dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik. Ketika wanita dan kanak-kanak terkorban, beliau bertegas bahawa Israel tidak menyasarkan orang awam secara sengaja.

Namun selepas hampir 19 bulan konflik yang menurutnya sepatutnya tamat setahun lalu, Olmert kini mengaku beliau tidak lagi mampu mempertahankan hujah tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, lebih 54,000 rakyat Palestin telah terkorban sejak perang bermula – termasuk sekurang-kurangnya 28,000 wanita dan kanak-kanak.

Olmert yang pernah dipenjarakan selama 16 bulan atas tuduhan rasuah, menyasarkan kritikan paling tajamnya terhadap Netanyahu serta dua menteri kanan haluan kanan, Itamar Ben Gvir dan Bezalel Smotrich.

“Saya berharap kerajaan ini akan berakhir secepat mungkin,” katanya.

Tinjauan pendapat di Israel menunjukkan majoriti penduduk menyokong satu gencatan senjata menyeluruh yang turut merangkumi pembebasan 58 tebusan terakhir di Gaza. Namun begitu, Netanyahu masih enggan mengakhiri peperangan dan menegaskan kempen ketenteraan akan diteruskan hingga Hamas dikalahkan sepenuhnya. – Agensi

Scroll to Top