'Jika diserang, pura-pura tak kenal' – Peserta misi GSF

'Jika diserang, pura-pura tak kenal' – Peserta misi GSF

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial yang juga pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad dan anak perempuannya mempersiapkan mental dan fizikal menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman daripada tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Malah, katanya, dia turut menitipkan pesanan kepada anaknya, Ilham Fansuri, 27, supaya berpura-pura saling tidak mengenali jika berlaku sebarang kejadian sepanjang misi.

Zainal berkata, anaknya itu begitu takut untuk berpisah dengannya, apatah lagi menyedari risiko besar yang bakal mereka hadapi di tengah lautan.

“Dia (Ilham) takut, dia tak akan boleh berpisah daripada saya, dia mesti duduk dekat. (Jadi) Saya beritahu Ilham jangan sesekali jerit nama ayah.

“Dan nanti pun (jika) mereka (tentera) naik atas kapal, waktu ini pun kita akan pusing (berpaling dan berpura tidak mengenali) supaya ayah tak nampak Ilham kena apa dan Ilham tak nampak ayah kena apa.

“Sekarang ini kita dua apabila naik atas kapal, kita kena ingat, sebarang bentuk yang kita lalui menjadi bentuk peribadi. Jadi dia kata okaylah,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Dua beranak itu adalah adalah antara peserta Malaysia di bawah panji Sumud Nusantara kumpulan B dalam misi kemanusiaan GSF untuk memecahkan sekatan rejim zionis Israel terhadap Gaza, Palestin.

Zainal berkata, pesanan itu dititipkan susulan simulasi dan latihan yang dijalani mereka sebelum ini, yang mungkin berdepan kekasaran daripada mana-mana pihak.

Katanya, aturan itu penting bagi mengelakkan mereka berdua saling lemah dan sedih melihat penderitaan masing-masing sekiranya diserang.

Bagi Zainal, usaha mereka lakukan bukan demi dirinya atau anaknya, sebaliknya untuk seluruh penduduk di Gaza yang dizalimi sejak sekian lama.

Difahamkan, kumpulan itu akan memulakan pelayaran pada jam 3 petang waktu Itali atau jam 9 malam waktu tempatan.

Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman.

Pelayaran GSF merentasi lautan Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada pertengahan bulan ini.

Secara keseluruhan, GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

Pelayaran keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top