“Jika Ditakdirkan Berjodoh Dengan Seseorang, Saya Harap Ini Perkahwinan Terakhir” – A Aida

“Jika Ditakdirkan Berjodoh Dengan Seseorang, Saya Harap Ini Perkahwinan Terakhir” – A Aida

Sedang mengenali hati budi seseorang, penerbit tersohor Datuk A Aida mengaku dia memerlukan peneman hidup selepas hampir enam tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

Namun, buat masa ini, pemilik syarikat produksi A Aida Production itu masih belum bersedia untuk berkongsi identiti individu istimewa sedang dikenalinya yang dikatakan dalam kalangan orang kenamaan.

“Buat masa ini, saya happy hidup solo, being single. Sebab dah lama bersendirian. Saya bahagia dengan anak-anak saya.

“Tapi, sejujurnya, pasti terbit rasa sunyi apabila sudah lama bersendirian. Saya akui memang perlukan seseorang untuk mengisi hari-hari yang mendatang,” katanya.

A Aida turut menegaskan urusan jodoh diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah dan berharap dipertemukan dengan insan yang benar-benar sesuai dengannya.

“Ajal, jodoh, maut, semuanya di tangan Tuhan. Saya berkawan dengan ramai orang. Urusan jodoh saya serahkan kepada Allah.

“Jika ditakdirkan saya ada jodoh dengan seseorang, saya harap perkahwinan kali ini adalah yang terakhir untuk saya,” ujarnya.

Terdahulu, A Aida mendedahkan dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki berstatus duda dan hubungan mereka mula akrab sejak Disember 2024.

Untuk rekod, pada 25 April 2019, A Aida bercerai talak satu dengan pelakon Ariff Aziz selepas 10 bulan berkahwin.

Sebelum itu, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng, pada 1994, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 2003. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa, 27, dan Wan Azevanatassha, 22.

A Aida kemudian berkahwin dengan seorang pegawai polis pada 2007, namun perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian pada 2013. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 15.

Scroll to Top