razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pemilik tanah dinasihatkan supaya sentiasa memantau dan memastikan tanah milik mereka tidak terbiar terlalu lama bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya membabitkan kegiatan penipuan dan penjualan tanah secara haram sebagai lot lidi.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, pemantauan secara berkala amat penting kerana tanah yang tidak dijaga mudah menjadi sasaran individu tertentu untuk melakukan pencerobohan, terutama apabila pemiliknya tidak menetap di kawasan berkenaan.
“Pemilik tanah disarankan meluangkan masa untuk melawat tanah masing-masing atau mengupah penduduk setempat bagi memantau kawasan terbabit secara berkala.
“Sekarang ini, orang yang mencuri dan menipu tidak lagi menunggu waktu malam sahaja. Apabila tanah kelihatan semak, tidak dijaga dan seolah-olah tidak bertuan, ia mudah diceroboh,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro semalam berhubung kejadian pencerobohan sebidang tanah seluas 1.16 hektar di Semungkis, Hulu Langat milik seorang individu yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pencerobohan itu terbongkar selepas ejen hartanah yang diamanahkan untuk menjual tanah berkenaan mendapati sebahagian kawasan dibersihkan menggunakan jentera berat tanpa pengetahuan pemilik tanah yang menetap di Damansara.
Ejen terbabit yang menyamar sebagai pembeli turut ditawarkan untuk membeli tanah seluas 2,400 kaki persegi pada harga RM70,000.
Susulan kejadian itu, pemilik tanah bersama ejen hartanah berkenaan membuat laporan polis dan aduan kepada pejabat tanah.
Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata isu pencerobohan tanah yang berlaku di Semungkis, disifatkan sebagai kes terpencil di kawasan itu.
“Tidak ramai yang berani menipu dalam soal tanah kerana kebanyakannya mempunyai geran, pemilikan yang jelas dan tuan punya yang sah. Apabila seseorang mengisytiharkan tanah itu miliknya tanpa hak, perkara itu mudah dipertikai dan disiasat.
“Saya juga akan membantu memanjangkan aduan mangsa kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk tindakan susulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli tanah yang ditawarkan, sebaliknya mendapatkan khidmat individu berpengalaman bagi meneliti geran serta status pemilikan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pembeli digalakkan mendapatkan maklumat daripada ketua kampung, penghulu atau penduduk setempat bagi mengetahui latar belakang dan status sebenar sesuatu kawasan untuk mengelakkan daripada tertipu. Pencegahan awal boleh mengelakkan masalah yang lebih besar di kemudian hari.
“Selain itu, elakkan membeli lot lidi. Jika ingin membeli tanah, pastikan tanah itu sah, mempunyai kelulusan dan geran individu bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




