“Jika Khilaf Saya Perlu Minta Maaf” – Siti Nurhaliza

“Jika Khilaf Saya Perlu Minta Maaf” – Siti Nurhaliza

Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, menegaskan bahawa seseorang tidak perlu berasa segan untuk memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Ia susulan isu berhubung kecuaiannya berkongsi hantaran di Instagram Story miliknya tanpa terlebih dahulu meneliti dan mengetahui produk yang dipromosikan.

Ketika ditemui XTRA, Siti berkata, dia tidak mempunyai alasan untuk berasa malu apatah lagi bila mengakui kesilapannya itu.

Ini kerana, tindakan tersebut lebih baik bagi mengelakkan salah faham berlarutan.

“Jika khilaf, saya perlu minta maaf. Itu lebih baik.

“Tak perlu rasa segan untuk memohon maaf pun. Lagi pula, saya sendiri yang memuat naik hantaran itu di media sosial.

“Apapun, saya sudah memohon maaf dan rasanya semua orang memahami situasi ini.

“Saya kongsi hantaran itu dalam keadaan santai, mungkin saya terlepas pandang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Budaya Raya di Pavilion Bukit Bintang pada Rabu.

Pameran Koleksi Peribadi & Impian Buka Galeri

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Bidadari Syurga itu juga menjadi selebriti pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan pusat beli-belah terkenal itu untuk mempamerkan 20 koleksi baju raya yang pernah digayakannya.

“Saya akan mempamerkan koleksi peribadi saya, termasuk pakaian raya serta beberapa kejayaan yang pernah saya capai di dalam dan luar negara untuk tatapan pengunjung.

“Kira-kira 20 koleksi baju raya yang pernah saya gayakan juga akan dipamerkan di sini, bersama beberapa anugerah yang saya menangi.

“Sebenarnya, saya memang mempunyai impian untuk membuka galeri sendiri, tapi masih belum menemui lokasi yang sesuai. Mungkin ini boleh menjadi permulaan,” jelasnya.

Lagu Raya Terbaharu & Sokongan Buat Umairah

Tidak habis disitu, Siti turut berkongsi dia juga akan melancarkan lagu raya terbaharu ciptaan penyanyi berbakat, Aisha Retno dalam masa terdekat.

Justeru,  ibu kepada dua cahaya mata ini juga mengharapkan sokongan terhadap lagu ‘Tak Balik Raya’, nyanyian anak saudaranya, Umairah, yang baru sahaja dilancarkan pada Selasa.

 

Scroll to Top