Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempersoalkan rasional cadangan menutup semua ladang penternakan babi di Malaysia, sedangkan Singapura sendiri mengimport babi hidup dari Sarawak dengan nilai eksport mencecah RM742.5 juta sejak 2017.
Beliau berkata, berdasarkan data rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, lebih 675,000 ekor babi hidup dieksport dari kawasan penternakan di Simunjan ke Singapura sejak 2017.
“Pada tahun 2024 sahaja, kira-kira 120,000 ekor babi hidup telah dieksport ke Singapura, menjana pendapatan sebanyak RM197.6 juta.
“Malah, berdasarkan laporan rasmi pada tahun 2025, eksport adalah sekitar 2,500 ekor babi hidup setiap minggu,” katanya ketika membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Chow berkata, ladang penternakan di Simunjan bukan beroperasi secara tradisional tanpa kawalan, sebaliknya menggunakan sistem moden bagi memastikan pengurusan ternakan dan kebersihan terpelihara.
“Ladang ini menggunakan sistem penternakan tertutup, sistem pengudaraan terkawal, rawatan dan kitar semula sisa ternakan serta langkah biosekuriti yang ketat.
“Kawasan penternakan ini juga mempunyai zon penampan yang memisahkan ladang daripada kawasan kediaman. Malah, sistem pengurusan kesihatan haiwan dan biosekuritinya telah mendapat pengiktirafan antarabangsa,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan penternakan babi di Sarawak membuktikan industri itu boleh dimodenkan, dikawal selia dan dibangunkan sebagai sektor eksport bernilai tinggi tanpa perlu menghapuskan keseluruhan industri.
Beliau turut mempersoalkan percanggahan antara cadangan untuk menutup ladang babi tempatan dengan hasrat mencontohi Singapura, yang masih mengimport babi hidup dari Malaysia.
“Jika Yang Berhormat (Wan Saiful Wan Jan, PN-Tasek Gelugor) mahu kita mencontohi Singapura dengan mengimport daging babi, tetapi Singapura sendiri mengimport babi hidup dari Sarawak, jika kita menutup semua ladang babi di Malaysia, termasuk di Sarawak, dari mana lagi Singapura hendak mengimport babi hidup dari Malaysia?
“Singapura boleh menerima hasil penternakan babi dari Malaysia, tetapi Malaysia sendiri pula mahu menghapuskan industri tersebut. Di mana logiknya?” katanya.
Chow berkata, langkah menghapuskan industri tempatan semata-mata untuk menggantikannya dengan import dari negara lain bukan pendekatan yang munasabah, sebaliknya kerajaan perlu mencontohi usaha pemodenan penternakan di Sarawak.
“Bukankah lebih rasional untuk kita mencontohi kejayaan pemodenan penternakan di Sarawak daripada menghapuskan seluruh industri?” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini sering menekankan kepentingan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import, justeru cadangan menutup industri berkenaan dilihat bertentangan dengan matlamat itu.
“Setiap kali kita membahaskan dasar pertanian, kerajaan sentiasa menekankan kepentingan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Tetapi hari ini, kita mendengar cadangan yang membawa negara ke arah bertentangan. Kita mahu menutup industri pengeluaran makanan sendiri dan menyerahkan bekalan sepenuhnya kepada negara luar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Chow turut membangkitkan risiko kebergantungan kepada import sekiranya berlaku wabak penyakit haiwan di negara pengeksport, gangguan rantaian bekalan antarabangsa atau kejatuhan nilai ringgit.
“Apakah jaminan bahawa daging babi import akan sentiasa lebih murah? Bagaimana jika berlaku wabak penyakit haiwan di negara pengeksport? Bagaimana jika rantaian bekalan antarabangsa terganggu? Bagaimana jika nilai ringgit merosot?
“Akhirnya, pengguna Malaysia yang terpaksa menanggung risikonya.
“Keterjaminan makanan bukan sekadar memastikan makanan boleh diperoleh hari ini, tetapi memastikan negara mempunyai keupayaan untuk terus membekalkan makanan pada masa depan,” katanya.
Sumber: YouTube Malaysia Gazette




