JIM gempur, tahan 94 PATI

JIM gempur, tahan 94 PATI

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Cubaan 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri gagal apabila dicekup dalam dua serbuan berasingan sekitar Selangor, pada 18 dan 19 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, 46 PATI ditahan dalam serbuan pertama membabitkan sebuah taman hiburan di sekitar Sungai Long, di sini, pada Isnin.

“Bertindak atas aduan awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi digerakkan ke lokasi (pertama) dan memeriksa 123 individu yang terdiri daripada 52 warga asing dan 71 tempatan.

“Hasil pemeriksaan, 46 PATI ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan sembilan perempuan Myanmar, lelaki Indonesia (2 orang), lelaki Bangladesh (3 orang), dan wanita Thailand seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JIM turut mengeluarkan empat notis saman saksi ke atas empat warga tempatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu di lokasi kedua seramai 48 PATI ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kilang dan pasaraya sekitar Balakong serta Puchong, bermula 11.45 pagi, pada Khamis lalu.

“Seramai 64 individu diperiksa dan 48 PATI ditahan membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia di antara 18 hingga 49 tahun

“Semasa serbuan terdapat PATI yang cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun digagalkan oleh pegawai serbuan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung majikan yang menggaji warganegara asing di lokasi tersebut tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya.

Menurutnya, kesemua individu ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Lenggeng bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) ( c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1)( c) Akta sama dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top