JIM gempur tapak projek hangar pesawat, tahan 173 warga asing

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan majikan menggajikan pekerja asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain terbongkar, selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah tapak pembinaan hangar di Sepang, hari ini.

Operasi yang menyasarkan tapak pembinaan hangar, ruang gudang, serta fasiliti pengujian enjin pesawat berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa itu membawa kepada penahanan 173 warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya itu dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu.

Beliau berkata, sepasukan 88 pegawai diatur gerak ke lokasi dan memeriksa 261 individu, yang terdiri daripada 217 warga asing dan 44 warga tempatan.

“Pemeriksaan ini turut membabitkan pekerja di bawah syarikat subkontraktor yang terbabit dalam projek berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, 173 warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun ditahan, membabitkan 147 lelaki warga Bangladesh, Indonesia (17), dan Pakistan (sembilan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, majikan terbabit dikesan menggajikan warga asing terbabit menggunakan PLKS yang didaftarkan atas nama syarikat berbeza.

“Selain itu, mereka turut menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Susulan itu, semua warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya

Katanya, JIM turut mengeluarkan lima notis Borang 29 (Saman kepada Saksi) kepada individu warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Zakaria memberi amaran keras bahawa JIM sentiasa memantau dan melaksanakan penguatkuasaan merentasi pelbagai sektor, termasuk pembinaan, logistik, dan fasiliti sokongan penerbangan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, termasuk majikan yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top