JIM serbu rumah penampungan Pati di Kelantan

JIM serbu rumah penampungan Pati di Kelantan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Memindahkan pendatang tanpa izin (pati) yang diseludup masuk ke tempat transit atau rumah penampungan sebelum dihantar ke destinasi tertentu.

Itu taktik digunakan sindiket penyeludupan migran di Kelantan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, aktiviti sindiket itu dibongkar menerusi Operasi Khas yang dijalankan JIM dan berjaya menumpaskan cubaan seludup pati di Kubang Kerian, Kelantan, pada 21 Februari lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula 11 malam itu susulan maklumat awam dan risikan dijalankan sejak awal bulan ini.

Menurutnya, operasi membabitkan kekuatan 15 anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat JIM Putrajaya serta Kelantan mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz dipercayai transporter di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.

“Pasukan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan bagi pemeriksaan namun pemandu bertindak memecut laju sebelum berjaya ditahan pasukan di persimpangan Jalan Bukit Marak-Peringat, Bachok.

“Pasukan menahan pemandu lelaki tempatan berusia 40-an. Pemeriksaan dalam kenderaan menemui enam warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan wanita berusia antara 17 hingga 25 tahun.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi ditetapkan sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, soal siasat ke atas transporter kemudian membawa pasukan ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai rumah penampungan.

Menurut Ruslin, siasatan awal mendapati sindiket mengubah modus operandi dengan tidak menggunakan terminal pengangkutan awam sebaliknya menjadikan rumah penampungan untuk menempatkan sementara pati yang baru diseludup dari sempadan sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

Katanya, transporter akan dibayar antara RM1,000 sehingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan untuk tindakan lanjut. Kita turut merampas wang tunai RM4,500, telefon bimbit dan kenderaan digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd