JIM serbu tapak pembinaan kilang bateri di Kulim, 630 warga asing ditahan

JIM serbu tapak pembinaan kilang bateri di Kulim, 630 warga asing ditahan

am@hmetro.com.my

Gambar Wan Nabil Nasir

Alor Setar: Seramai 630 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Ops MEGA Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah ke atas sebuah tapak pembinaan kilang bateri di Padang Meha, Kulim, semalam.

Dalam operasi membabitkan 159 pegawai Imigresen Kedah yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 697 individu terdiri daripada warga asing dan rakyat tempatan diperiksa.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, daripada jumlah yang ditahan, 622 adalah lelaki manakala lapan lagi perempuan berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, warga China mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 396 orang, diikuti Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) dan masing-masing seorang New Zealand dan Senegal.

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c)[13/10, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya pada sidang media di Anak Bukit, di sini hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata, operasi dilaksanakan hasil maklumat dan risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama JIM Kedah.

Operasi turut membabitkan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM serta pegawai imigresen dari Kedah, Perlis, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, operasi berkenaan berdepan pelbagai cabaran apabila sebahagian individu yang ditahan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko tinggi, termasuk memanjat bumbung bangunan yang masih dalam pembinaan.

“Selain itu, tindakan provokasi oleh sekumpulan individu terbabit terhadap pegawai imigresen turut mencetuskan ketegangan, sekali gus memerlukan anggota bertindak pantas bagi mengawal keadaan.

“Sebanyak enam saman saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi di kawasan pembinaan seluas hampir 500,000 meter persegi itu turut berdepan cabaran keselamatan dan logistik, terutama berikutan hujan lebat yang menyebabkan permukaan licin, kawasan bertakung serta laluan berlumpur.

Keadaan struktur bangunan yang masih dalam pembinaan, lubang lif, besi tetulang terdedah, bahan binaan berselerakan, pergerakan jentera berat dan kerja di tempat tinggi turut meningkatkan risiko keselamatan kepada anggota operasi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan majikan, kontraktor utama dan subkontraktor supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen perjalanan serta pas atau permit yang sah.

Katanya, semua pihak juga perlu memastikan pekerja asing mematuhi syarat imigresen yang ditetapkan.

“JIM akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top