JIM sokong DPP perkemas pengurusan pelarian

JIM sokong DPP perkemas pengurusan pelarian

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyokong penuh langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melaksanakan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dalam usaha memperkemas pengurusan pelarian di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, DPP adalah langkah permulaan penting dalam merangka strategi lebih menyeluruh bagi memastikan kehadiran pelarian di Malaysia dapat dikawal secara sistematik dan berkesan.

“JIM menyokong dasar yang diputuskan oleh kerajaan dan KDN. Ini sebagai langkah permulaan dalam kita merangka strategi mengurus semua pelarian di negara ini.

“Dengan adanya pendaftaran rasmi melalui DPP, kita dapat mengenal pasti dengan lebih jelas siapa yang benar-benar memerlukan perlindungan dan siapa yang mungkin menyalahgunakan status pelarian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zakaria berkata, sebelum ini pengurusan data pelarian banyak bergantung kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sekali gus menyukarkan kerajaan memantau secara tepat keberadaan serta pergerakan mereka.

Beliau berkata, penggunaan pejabat Jabatan Imigresen di seluruh negara sebagai pusat pendaftaran juga akan memudahkan proses dokumentasi selain memperkukuh aspek keselamatan negara.

“Selain meningkatkan kecekapan, ia juga boleh menghalang pelarian daripada terlibat dalam aktiviti tidak sah atau digunakan pihak tertentu untuk tujuan lain. Langkah ini memberi manfaat kepada kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin memaklumkan KDN akan melaksanakan inisiatif DPP bagi memastikan kerajaan mempunyai data lebih tepat mengenai kumpulan pelarian.

Beliau dilaporkan berkata, KDN sedang melakukan saringan terhadap 37,000 individu untuk menilai kelayakan mereka sebagai pemohon suaka di samping merancang langkah seterusnya agar pengurusan pelarian dapat dijalankan dengan lebih komprehensif tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top