Jimmy gandingan baharu Su Yin, Pan Ron dilepaskan BAM

Jimmy gandingan baharu Su Yin, Pan Ron dilepaskan BAM

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sah berpisah selepas Pang Ron mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkembangan itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky yang menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap prestasi pasangan itu.

Menurutnya, selepas tempoh kira-kira satu setengah tahun, pihak kejurulatihan melihat keperluan untuk melakukan perubahan bagi meningkatkan prestasi pasukan.

“Selepas satu setengah tahun pemerhatian, kami menilai prestasi Pang Ron. Bersama jurulatih Nova, kami membuat keputusan untuk memisahkan pasangan ini.

“Su Yin akan digandingkan dengan pasangan baharu, Jimmy Wong, manakala Pang Ron dilepaskan daripada skuad kebangsaan,” katanya.

Semalam, BAM mengesahkan Pang Ron tidak lagi bersama skuad kebangsaan, sementara Su Yin akan membentuk gandingan baharu bersama Jimmy yang kembali menyertai pasukan selepas bergerak secara profesional.

Dalam perkembangan sama, Pang Ron dijangka meneruskan karier sebagai pemain profesional apabila bakal bergandingan dengan Lai Pei Jing.

Kedua-dua pasangan baharu itu dijangka membuat penampilan sulung masing-masing pada saingan Masters Malaysia dari 19 hingga 24 Mei ini.

Langkah rombakan itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kembali kekuatan beregu campuran negara menjelang kejohanan utama akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top