BEIJING: Presiden Xi Jinping memuji arah perjalanan China daripada jajahan hina bertukar menuju kebangkitan yang tidak mampu ditandingi dan menjadi kuasa besar pada perayaan 100 tahun Parti Komunis China hari ini.
Bercakap berlatarkan potret raksasa Mao Zedong, yang mendominasi Dataran Tiananmen, Jinping berkata, era China yang dibuli sudah hilang selamanya dan memuji parti itu kerana meningkatkan pendapatan dan mengembalikan kebanggaan negara.
Jinping berkata, parti itu mengangkat puluhan juta daripada kemiskinan dan mengubah lanskap pembangunan dunia.
Beliau yang memakai jaket ‘gaya-Mao’ berkata, wajah baharu negara China yang besar membuka lembaran bersejarah yang tidak mampu ditandingi dan berikrar akan terus membina tentera ‘bertaraf dunia’ untuk mempertahankan kepentingan nasional.
Dalam upacara yang penuh patriotisme itu, ribuan penyanyi, yang disokong oleh kumpulan perarakan, menyanyikan lagu ‘Kami adalah Pewaris Komunisme’ dan ‘Tanpa Parti Komunis tidak akan ada China Baru’ ketika jemputan tanpa pelitup muka bersorak dan mengibarkan bendera di Dataran Tiananmen yang penuh sesak.
Jinping telah menyisihkan saingan dan menghancurkan mana-mana pihak yang tidak sependapat daripada etnik Muslim Uyghur dan pengkritik dalaman sehingga protes prodemokrasi di jalanan Hong Kong.
Hari ini juga memperingati ulang tahun ke-24 penyerahan bekas jajahan Britain, Hong Kong kepada China, tarikh yang pernah tercemar dengan demonstrasi besar-besaran terhadap Beijing.
Setahun lalu, China mengenakan undang-undang keselamatan nasional yang kejam di bandar itu sebagai tindak balas terhadap tunjuk perasaan besar – yang sering berlaku keganasan.
Tindakan itu menyaksikan lebih 64 aktivis didakwa, slogan anti-China dijadikan satu jenayah dan juga penutupan sebuah akhbar yang lantang kerana undang-undang itu menenggelamkan bandar yang penuh dengan kebebasan dan kini digelar oleh Amnesty sebagai bandar darurat hak asasi. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




