Jiwa pejuang Yusof

Jiwa pejuang Yusof

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kisah kejayaan atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin bukan sekadar mengenai pingat, tetapi lahir daripada inspirasi, disiplin dan kepercayaan betapa kekurangan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan.

Menjadikan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai idola utama, Yusof mengakui semangat dan fizikal kecil dimiliki ‘The Pocket Rocketman’ itu banyak membakar azamnya untuk terus mengayuh lebih laju di pentas antarabangsa.

Inspirasi itu diterjemahkan dengan cukup manis apabila Yusof menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia dalam acara ujian masa berbasikal lebuh raya individu lelaki C1–C2 pada Sukan Para Asean (APG) 2025 yang berlangsung di Universiti Teknologi Suranaree, kelmarin.

Yusof menamatkan perlumbaan dengan catatan 32:39.887 saat (s) meninggalkan pesaing dari Indonesia, Tifan Abid Alana (35:39.593s) dan peserta tuan rumah, Rimtamad Teerayut (36:29.642s).

Bagi Yusof, persamaan fizikal menjadi faktor utama dia menjadikan Azizulhasni sebagai sumber motivasi, selain turut mengagumi jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly, yang terkenal dengan semangat juang luar biasa.

“Jika atlet normal, sudah pasti saya pilih Datuk Azizul dan kalau atlet para adalah Datuk Latif. Azizul walaupun badan dia kecil, dia sangat hebat. Fizikal badan saya juga kecil dan sebab itu saya nak jadi macam dia.

“Untuk Datuk Latif pula, walaupun dia sudah menang macam-macam kejohanan, dia masih cukup bersemangat untuk menang lagi. Semangat macam itulah yang saya harap boleh contohi,” katanya ketika dihubungi.

Perjalanan atlet yang mempunyai ketinggian 173 sentimeter (cm) serta berat 62 kilogram (kg) itu dalam dunia berbasikal bukan bermula dengan impian besar, sebaliknya didorong oleh minat sederhana dan sokongan keluarga terutama bapanya.

Menurutnya, dia mula mengenali sukan berbasikal secara serius ketika berusia 15 tahun selepas melihat bapanya menjadikan aktiviti itu sebagai rutin biasa untuk beriadah.

“Dia (bapa) cuma minat menunggang basikal untuk aktiviti biasa saja dan bermula daripada situ, ia tarik minat saya.

“Saya berjaya diserap masuk ke dalam pasukan Perak sebelum terpilih masuk ke pasukan para Malaysia.

“Jurulatih nampak saya ada potensi dan sebab itulah saya terpilih masuk ke pasukan para kebangsaan,” katanya.

Justeru, Yusof mendedikasikan kejayaan meraih emas pertama untuk kontinjen negara, kelmarin kepada kedua-dua ibu bapanya yang tidak pernah mengenal erti berputus asa terhadapnya.

“Saya sudah tinggalkan mereka selama dua bulan kerana perlu jalani latihan intensif di Thailand.

“Emas ini adalah sebagai pembakar semangat untuk atlet negara yang lain untuk terus berjuang sebaik mungkin bagi merebut pingat yang ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut kejayaan meraih emas pertama kontinjen negara di temasya berkenaan, Yusof menyifatkannya sebagai permulaan positif bagi kempen musim ini dan pemangkin untuk memburu kejayaan lebih besar.

“Saya cuma ikut apa perancangan yang ditetapkan oleh jurulatih. Cuma saya ada satu sasaran peribadi pada tahun ini iaitu untuk mengekalkan jersi pelangi di Kejohanan Dunia,” katanya.

Untuk rekod, Yusof pernah mencipta sejarah apabila meraih pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Rio de Janeiro, Brazil, Oktober tahun lalu dalam acara pecut 200 meter kategori MC1, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara pelumba para terbaik dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top