redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tak nak tahu bangsa, agama mahupun faham politik mereka. Selagi mana mereka yang datang itu manusia, saya akan bantu kerana itu yang paling penting.”
Ini kata pesara, Tony Lian, 76, yang kini banyak menghabiskan usia senjanya dengan aktiviti khidmat masyarakat, salah satunya membantu mengagihkan makanan kepada gelandangan sekitar ibu kota sejak 10 tahun lalu.
Tony bermula secara solo sebelum menggerakkan inisiatif itu lebih aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Food 4U. Matlamatnya adalah memastikan tiada gelandangan yang kelaparan.
“Permulaannya, saya beri makanan kepada gelandangan dan waktu itu jumpa ramai warga emas yang usianya lebih kurang saya.
“Apa yang menyedihkan, sebahagiannya tiada waris dan tiada siapa nak jaga mereka. Sebab itu saya cuba tolong sampai hari ini.
“Tiga ke empat tahun pertama, saya masak sendiri dan agihkan 300 pek makanan seminggu. Sekarang, saya upah peniaga untuk masak dan agihkan 3,000 pek makanan seminggu. Sekurang-kurangnya saya dapat bantu peniaga juga untuk ambil upah masak di rumah tanpa perlu keluar berniaga,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, di sini.
Menurut Tony, agihan makanan dilakukan setiap hari kecuali Rabu dan Ahad dalam dua sesi iaitu jam 12.30 tengah hari dan 5.30 petang.
Katanya, agihan dibuat secara bergilir-gilir di empat pusat gelandangan sekitar ibu kota. Dia juga tidak berseorangan kerana dibantu rakan yang juga syarikat korporat yang menyumbang pek makanan serta menghantar kakitangan sebagai sukarelawan.
Tony berkata, selain makanan, dia turut membawa kakitangan perubatan sebulan sekali ke pusat gelandangan itu bagi memberi khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Paling gembira bila jumpa orang susah, mereka ambil makanan, nampak gembira, ucap terima kasih dan kata perut tak kosong lagi.
“Disebabkan itu, saya terus buat kerja ini kerana nak terus membantu dan paling penting, perut mereka terisi.
“Setakat ini, keluarga sokong usaha saya, malah anak saya pun ada kalanya ikut sama jika dia ada kelapangan. Isteri pun tak halang, malah dia kata buatlah apa saya suka dan yang penting jaga kesihatan,” katanya yang turut mengagihkan makanan kepada gelandangan di Chow Kit sekali dalam sebulan.
Tony berkata, selain gelandangan, dia turut membuka pusat gelandangan warga emas, The Santuary 1 di Damai Perdana, Cheras, Selangor.
Katanya, buat masa ini, pusat berkenaan menempatkan 11 penghuni terdiri daripada warga emas yang tiada tempat tinggal atau waris untuk menjaga mereka selepas keluar hospital.
“Ada juga yang ada waris, tapi tidak mahu menjaga mereka. Saya bekerjasama dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) hospital yang menyalurkan maklumat serta menghubungkan dengan warga emas terbabit.
“Inisiatif lain saya adalah membantu keluarga termasuk pasangan muda yang datang dari kampung untuk cari pekerjaan tapi tak mampu menyewa.
“Kalau saya hantar ke pusat gelandangan, suami isteri itu akan terpisah. Pisahkan mereka ibarat nak mereka bercerai pula. Jadi, saya bantu sewakan bilik untuk mereka tinggal selama enam bulan dan dalam tempoh itu, mereka kena cari kerja sebelum berpindah ke tempat lain,” katanya yang menetap di Semenyih, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




