Jiwai watak 'Papa' Megah Holdings, gelagat Mustapha Kamal raih perhatian

Jiwai watak 'Papa' Megah Holdings, gelagat Mustapha Kamal raih perhatian

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Datuk Mustapha Kamal, 64, mencuit hati netizen apabila tampil ‘menjiwai’ watak ikonik sebagai pemilik syarikat Megah Holdings di Threads.

Ia bermula apabila Mustapha menggelarkan dirinya ‘papa’ serta turut memuat naik gambar-gambar percutiannya bersama isteri tercinta yang juga pelakon, Susan Manen.

“Papa nak bahagiakan isteri papa dulu… cuti-cuti dengan mummy tersedia dalam kalendar,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam pada itu, Mustapha turut memuat naik sebuah gambar yang menunjukkan dia sedang meminum air oren yang selalu dilakonkannya apabila menjadi seorang bapa dan pemilik syarikat Megah Holdings.

Menerusi hantarannya itu, netizen turut mengambil kesempatan untuk berlakon seolah-olah mereka adalah anak kepada Mustapha dan staf Megah Holdings.

Bukan hanya itu, Mustapha turut melayan serta membalas komen-komen netizen dengan selamba dan melucukan.

“Ambil masa papa. Business (perniagaan) saya boleh handle (uruskan). Projek RM4 juta itu alhamdulillah kita dah ‘secure’,” seloroh seorang netizen.

“Kamu dah semakin faham pasal business (perniagaan), bagus,” balas Mustapha dengan nada berseloroh.

Tindakan Mustapha yang membalas komen kebanyakan netizen turut meraih pujian apabila dia rajin melayan kerenah mereka.

Malah, sejak kebelakangan ini hantaran yang dimuat naik Mustapha kebanyakannya mendapat perhatian netizen sehingga mencecah ribuan tanda suka dan ratusan komen.

Sebelum ini, Mustapha pernah mencetuskan fenomena dan sangat sinonim dengan watak ‘Papa’ iaitu pemilik syarikat Megah Holdings yang kaya-raya.

Bagaimanapun, ‘trademark’ Megah Holdings dan lakonan Mustapha yang sering meminum air oren pada waktu pagi itu melekat sehingga ke hari ini.

Nama Mustapha sering dijadikan bahan jenaka dan meme oleh netizen apabila membicarakan tentang dunia korporat atau keluarga elit dalam drama tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top