am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 14.398 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai lebih RM1.4juta di Pintu 1, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, di sini, pada 27 Mei lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata pada hari kejadian, sekitar jam 9.15 malam itu, pihaknya menerima maklumat awam dan membuat pemeriksaan
terhadap sebuah beg bagasi yang ditinggalkan di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap beg terbabit didapati mengandungi 10 paket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.
“Pada masa yang sama juga, pemeriksaan dilakukan terhadap seorang lelaki warga Thailand bersama beg yang dibawa di lokasi sama, yang mana mendapati terdapat 15 paket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.
“Hasil siasatan mendapati, suspek menggunakan modus operandi dengan menyeludup bunga ganja melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan keluar melalui Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wan Jamal berkata, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd