JKDM Selangor rampas barang seludup bernilai RM209 juta

JKDM Selangor rampas barang seludup bernilai RM209 juta

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Sebanyak 539 kes dengan nilai rampasan RM209,167,691.93 termasuk cukai dan duti berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, antara barangan komoditi dirampas adalah minuman keras, tembakau, mercun, dadah, skrap, besi, barangan elektrik dan daging sejuk beku.

“Dari segi perincian penguatkuasaan yang dilaksanakan, kes membabitkan minuman keras paling banyak dengan jumlah 57 kes dan nilai rampasan RM6,781,682.28 dan cukai RM28,811,225.88 manakala rokok pula sebanyak 39 kes dengan nilai rampasan RM3,230,591.84 dan cukai RM26,328,388.50.

“Siasatan mendapati (permintaan bagi) minuman keras biasanya untuk perayaan, majlis-majlis utama. Jadi permintaan cukup tinggi, itu menyebabkan ramai cuba bawa masuk secara (haram) sebab hendak mengelakkan cukai, duti yang tinggi untuk komoditi ini.

“Bagi kesemua 539 kes berkenaan pula, masih ada dalam siasatan lagi sebab kita masih perlu dapatkan maklumat kes yang disiasat dari Jabatan Kimia Malaysia dan lain-lain jabatan, agensi yang berkaitan,” katanya dalam sidang media di Wisma JKDM Selangor, Pulau Indah, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kejayaan terkini JKDM Selangor adalah menumpaskan aktiviti penyeludupan barang larangan dengan anggaran nilai RM6,053,688 termasuk cukai dan duti yang membabitkan komoditi mangkuk tandas dan sinki, daging sejuk beku, minuman keras, telefon pintar serta bijih timah.

“Pada 15 Julai dan 1 Ogos lalu, JKDM Selangor menahan dua kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan menemui sejumlah 654 unit mangkuk tandas dan 1,600 unit sinki yang dipercayai diimport tanpa sijil kelulusan.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai RM852,400 manakala duti dan cukai sebanyak RM319,650,” katanya.

Beliau berkata, pada 23 Julai dan 11 Ogos lalu, tiga kontena masing-masing dua kontena di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang dan satu kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara ditahan dengan rampasan sejumlah dada ayam sejuk beku dan itik sejuk beku yang dipercayai diimport tanpa permit.

“Rampasan ayam sejuk beku adalah sebanyak 51,552 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM1,524,663 termasuk duti dan cukai manakala itik sejuk beku sebanyak 24,200 kg dengan anggaran nilai rampasan RM406,164.

“Sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengikrarkannya sebagai sayur campuran dan kentang goreng sejuk beku.

“Pada 11 Julai pula, JKDM Selangor merampas 4,462.50 liter minuman keras pelbagai jenis dan 360 unit telefon pintar dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai dagangan minuman keras pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM122,171 termasuk duti dan cukai manakala telefon pintar pula dianggarkan berjumlah RM203,490 termasuk duti dan cukai,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit yang sah dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, pada 10 Ogos lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor menyita 16 pallet di sebuah gudang kilang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan mendapati guni yang berada di atas pallet itu mengandungi bijih timah.

“Pengurus operasi gudang mengemukakan Borang Kastam yang disyaki palsu.

“Jumlah bijih timah yang dirampas adalah sebanyak 370 guni dengan anggaran nilai RM2,625,150 dan kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(c) Akta Kastam 1967,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top