am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris seorang bayi perempuan ditinggalkan di sebuah pusat perlindungan di bandar raya ini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru Norhafizah Ahmad berkata, bayi itu ditemukan bersama nota yng mencatatkan nama, tarikh dan masa kelahirannya.
Katanya, berdasarkan laporan polis dibuat Pengurus Orphan Care Foundation Cawangan Johor Bahru, petugas di situ membuka peti perlindungan di pusat berkenaan selepas penggera kamera litar tertutup (CCTV) berbunyi.
“Penggera CCTV berbunyi apabila terdapat pergerakan dalam peti perlindungan itu pada 19 April lalu, jam 1.15 pagi.
“Sebaik peti dibuka, petugas menemukan bayi perempuan bersama sekeping nota yang menyatakan namanya sebagai Inara Aisyah serta tarikh lahirnya pada 11 April 2025,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, tiada sebarang tuntutan oleh ibu mahupun waris Inara Aisyah.
Hasil pemeriksaan kesihatan mendapati, bayi itu tiada masalah kesihatan dan ketika ini, Inara Aisyah ditempatkan di bawah
pemeliharaan Orphan Care Foundation Cawangan Johor Bahru.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris Inara Aisyah diminta menghubungi Pelindung JKM Daerah Johor Bahru Jamalluddin Hassan di talian 07-2330329,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd