JKM Pahang cari waris bayi lelaki

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak, Zalina Yusoff berkata, bayi tersebut diserahkan kepada keluarga angkat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri menyebabkan proses untuk mencari waris menjadi sukar.

“Bayi lelaki berkenaan diserahkan oleh ibu kandung pada 16 Disember 2020 untuk jagaan sementara dengan alasan ibu kandung mempunyai urusan yang perlu diselesaikan di bandar Kuantan.

“Walaubagaimanapun, sehingga 22 Disember lalu ibu kandung tidak muncul untuk mengambil semula bayinya,” kata Zalina.

Berikutan itu, keluarga angkat membuat satu laporan polis sebelum kes dirujuk kepada pihak JKM Pahang.

Katanya, ini kerana  keluarga angkat tidak mengenali ibu kandung secara dekat dan mereka hanya sesekali berjumpa di kawasan perumahan tersebut semasa bayi masih  dalam kandungan.

Satu perintah jagaan sementara ke atas kanak-kanak dan pencarian waris melalui siaran media telah dimohon di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Daerah Kuantan.

Orang awam yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai waris bayi lelaki tersebut diminta hadir atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan di talian 09-5724225. – MalaysiaGazette