JKM rekodkan 2,240 kes dera kanak-kanak sepanjang tahun ini

JKM rekodkan 2,240 kes dera kanak-kanak sepanjang tahun ini

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara, tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah direkodkan setakat Ogos lalu berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi.

“Daripada jumlah itu, 897 membabitkan penderaan fizikal, manakala 1,260 kes merangkumi penderaan seksual dan 83 kes lagi penderaan emosi.

“Sementara itu, bagi kes jenayah seksual kanak-kanak pula dibahagikan kepada 14 kategori iaitu rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, cabul kehormatan, berkelakuan aib, menghendap, seks luar tabii, pornografi kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak, berjumpa selepas pengantunan, amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes seksual membabitkan kanak-kanak bagi tahun dari Januari hingga April 2024 ialah 2,059 kes,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik kes seksual dan penderaan kanak-kanak serta langkah dilaksanakan bagi mengekang fenomena itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top