JKN Perlis sahkan kes lelaki menyamar pegawai perubatan

JKN Perlis sahkan kes lelaki menyamar pegawai perubatan

am@hmetro.com.my

Kangar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan berlakunya insiden lelaki menyamar sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, 8 April lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ghazali Chik berkata, kejadian dilaporkan berlaku di pekarangan HTF pada 9.28 malam dan individu berkenaan dikenal pasti sebagai seorang orang awam berusia 23 tahun.

“Individu itu juga didapati lengkap beruniform PPP dan mempunyai beg peralatan perubatan dan suspek mengaku membeli seragam PPP serta peralatan perubatan berkenaan melalui platform atas talian.

“Malah, suspek melakukan perbuatan itu adalah disebabkan dirinya mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, satu laporan polis mengenai insiden itu kemudian dibuat pada 9 April lalu iaitu sehari selepas insiden berkenaan.

“Tindakan selanjutnya terhadap pelaku diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengarahkan pihak HTF untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di seluruh kawasan hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top