am@hmetro.com.my
Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengesan terdapat pekerja bazar Ramadan di negeri ini yang tidak mengambil suntikan anti-tifoid serta tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, walaupun ia membabitkan jumlah kecil berbanding tahun lalu, namun langkah itu penting untuk memastikan kesihatan serta sebagai syarat utama berniaga di bazar Ramadan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan bermula awal Ramadan sehingga 25 Februari lalu mendapati hanya tiga peratus yang tidak mendapat suntikan anti-tifoid berbanding 10 peratus tahun lalu manakala 10 peratus tidak menghadiri kursus pengendalian makanan tahun ini berbanding 15 peratus tahun lalu.
“Kadang yang tak ambil suntikan anti-tifoid ini adalah pekerja tapi peniaga atau pemilik lesen ambil (suntikan). Mungkin mereka kalut sampai terlupa.
“Kebanyakan pemilik lesen atau peniaga tak pernah abaikan, mereka akan ikut syarat ditetapkan.
“Sebab itu kita perlu buat kempen kesedaran seperti ini, kalau peniaga nak ambil 10 pekerja, pastikan semuanya menerima suntikan ini. Kadang ada yang ganti pekerja, bila kita buat pemeriksaan tak ada suntikan, itu yang masalah,” katanya selepas merasmikan Kick-off Kedah Ke Arah Bebas Keracunan Makanan di bawah Inisiatif Makanan Selamat Warisan Kedah anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan sesi Walkabout di Bazar Ramadan, Stadium Darul Aman, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Dr Nor’Aishah Abu Bakar dan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya serta Pengarah Bahagian Pematuhan dan Pembangunan Industri, mewakili Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mahamad Sukor Senapi.
Mansor berkata, sekiranya peniaga atau pekerja tidak mengambil suntikan anti-tifoid dan mereka mempunyai penyakit, ia mudah tersebar kepada makanan yang dijual.
Beliau berkata, bukan setakat suntikan itu saja malah pengendali makanan atau pekerja yang memakai aksesori seperti kerongsang, manik atau sebarang perhiasan pada tudung dan cincin sebenarnya tidak dibenarkan.
“Kalau ada yang kita nampak pakai aksesori berlebihan pada baju, tangan dan tudung, pegawai kesihatan yang buat rondaan bagi nasihat dahulu kerana kalau mereka hadir kursus kendalian makanan, mereka akan diajar.
“Kalau tak ada suntikan anti-tifoid atau tidak mematuhi tahap kebersihan pada peringkat awal, kita nasihat dahulu tetapi kalau masih tiada tindakan kita akan keluarkan saman antara RM100 hingga RM200 bergantung pada kesalahan.
“Kalau kita bagi nasihat tapi tak patuh, kita akan bagi saman lagi di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan boleh disaman sama ada pengendali atau pekerja sendiri, ” katanya.
Mansor berkata, JKN Kedah menempatkan seramai 75 pegawai di 80 bazar Ramadan di negeri ini untuk melakukan rondaan dan pemeriksaan setiap hari.
Katanya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang masalah berkaitan makanan yang dijual tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan, boleh membuat aduan terus kepada pegawai bertugas di lokasi.
“Setiap aduan perlu sertakan bukti lengkap termasuk gambar dan butiran terperinci untuk memudahkan tindakan diambil segera, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



