harisfadli@hmetro.com.my
Ampang: Penilaian Jabatan Mineral dan Galian (JMG) mendapati masih ada pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini beberapa jam selepas insiden terbabit pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menutup kawasan cerun berkenaan menggunakan kanvas bagi mengelak lebih banyak hakisan tanah berikutan cuaca hujan masih berterusan.
“Ia bagi mengelakkan hakisan tanah yang lebih teruk lagi memandangkan cuaca masih hujan lebat dan ia diharap mengurangkan pergerakan tanah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, polis dan agensi berkenaan tidak menolak kemungkinan kawasan runtuhan seluas 600 meter persegi (m²) itu menjadi lebih besar jika cuaca hujan berterusan.
Katanya, pemasangan kanvas berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin walaupun dalam keadaan hujan bagi mengurangkan risiko hakisan tanah lebih teruk.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung skala pergerakan tanah yang berlaku di kawasan itu.
“Pergerakan tanah berlaku di bahagian atas, kita akan letak kanvas hari ini juga walaupun hujan lebat sebab kita tidak tahu bila akan reda.
“Kajian (penilaian) oleh JMG akan dibuat sekali lagi esok untuk memastikan ada pergerakan tanah atau tidak,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan pemindahan penduduk di kawasan berhampiran, Mohd Azam berkata, setakat ini kejadian itu hanya menjejaskan penduduk di Jalan E6, Taman Melawati.
Katanya, seramai 33 mangsa terdiri daripada 11 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai JKP Zon 1 berhampiran lokasi kejadian, namun kebanyakan mereka memilih tinggal di rumah keluarga atau di hotel.
Mohd Azam berkata, kerja-kerja pembersihan jalan yang terhalang akibat runtuhan itu sudah hampir selesai dianggarkan 80 peratus.
Sementara itu, Ketua Zon Empat Hulu Langat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Shahrin Yusmar Mat Yusof, berkata pihaknya menjalankan kerja pembersihan longkang bagi melancarkan aliran air.
Katanya, longkang berkenaan didapati tersumbat dengan batu, pasir dan kayu susulan tanah runtuh terbabit sehingga air tidak dapat mengalir dengan lancar maka pihaknya turut melakukan lencongan aliran air bagi mengurangkan bebanan pada longkang terbabit.
Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Merangkap Pegawai Undang-Undang MPAJ, Johari Atli enggan mengulas lanjut berhubung amaran awal tahap bahaya kepada JKR Daerah Gombak dan Hulu Langat termasuk MPAJ oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




