
Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjuarai Perlumbaan 2 Kejohanan GT World Challenge Asia di Fuji International Speedway, Jepun hari ini. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
PASUKAN Johor Motorsports Racing (JMR) terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjuarai Perlumbaan 2 Kejohanan GT World Challenge Asia di Fuji International Speedway, Jepun hari ini.
Tunku Abdul Rahman yang bergandingan dengan Ben Green menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, mempamerkan aksi luar biasa dengan merakam masa 1 jam 19.306 saat (s) selepas menamatkan 30 pusingan.
Pasukan Origine Motorsports yang dibarisi Bob Yuan dan Leo Ye menduduki tempat kedua dengan catatan masa 1:00:21.285s manakala pelumba Craft-Bamboo Racing Qi Cao dan Jayden Ojeda melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 1:00.24.925s.
Sementara itu, jentera kedua JMR yang dipandu Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Jordan Love menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-22 dengan catatan masa 1:01:17.852s selepas 30 pusingan.
Sebelum itu, jentera dipandu Tunku Abu Bakar yang berada di kedudukan pendahulu ketiga, berlanggar dengan skuad Team KRC dipandu Ruan Cun Fan pada pusingan terakhir di selekoh terakhir sekali gus memusnah peluang untuk menaiki podium hari ini.
JMR akan kembali beraksi di Litar Okayama, Jepun pada 29-31 Ogos ini dalam GT World Challenge Asia. – Bernama