Jodoh- Azira tak rasa tertekan

Jodoh- Azira tak rasa tertekan

am@hmetro.com.my

SELESA dengan status solo meskipun sering diasak persoalan tentang jodoh, pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz memilih untuk memulakan tahun 2026 dengan perkara yang belum dikecapinya sepanjang bergelar anak seni.

Bagaimanapun, Azira, 35, memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya seni buat masa ini.

“Kalau tengok saya pun, saya masih lagi ‘single’. Saya rasa semua orang pun tahu perkara ini kerana setiap kali orang bertanya, jawapan saya tetap sama. Saya belum ada teman istimewa dan saya gembira dengan kehidupan sekarang.

“Sudah tentu saya mempunyai impian (untuk berkahwin), tapi mungkin jodoh saya belum sampai lagi,” katanya kepada Rap Xtra.

Tambah Azira, dia melihat situasinya itu daripada sudut positif dan menganggap sebagai satu aturan terbaik daripada Maha Pencipta.

“Jika ia (jodoh) datang, alhamdulillah. Jika sebaliknya, mungkin Allah nak ‘selamatkan’ saya untuk masa akan datang. Mana tahu nanti tiba-tiba terjumpa jodoh dan tengok-tengok bulan depan kahwin. Tapi, itu (berkahwin) adalah satu impian saya.

“Buat masa sekarang, saya sangat berpuas hati dan bahagia dengan kehidupan saya. Saya nak fokus pada kerjaya dulu. Saya rasa tahun 2026 ini banyak perkara yang saya nak capai, yang sebelum ini belum sempat dikecapi,” katanya.

Azira turut berkongsi, soalan berkaitan jodoh atau teman lelaki tidak sedikit pun memberi tekanan kepada dirinya, malah dia mengambil pendekatan untuk kekal positif dan tenang.

“Saya rasa dah lali dengan perkara itu. Pertanyaan sebegitu tak membuatkan saya rasa tertekan, depresi atau sedih. Saya dah terbiasa.

“Apa yang paling penting adalah saya gembira. Saya rasa kesihatan mental saya mesti berada dalam keadaan baik. Jika kesihatan mental tak okey, saya rasa saya takkan mampu untuk lalui apa yang saya sedang lalui ketika ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Azira atau pemilik nama Azira Shafinaz Ramlan tidak menafikan situasi itu sering berlaku terutama apabila berkumpul bersama ahli keluarga.

Selepas sekian lama menyepi daripada naskhah televisyen, Azira, menyifatkan penglibatannya dalam drama terbaharunya, Kerana Cinta Itu Dusta sebagai kemunculan semula yang amat bermakna.

Azira mendedahkan kali terakhir dia membintangi drama adalah sekitar 2018 menerusi slot Akasia, sebelum lebih banyak memberi tumpuan kepada naskhah di platform penstriman (OTT).

“Ini boleh dikatakan satu ‘comeback’ buat Azira. Drama ini menyampaikan mesej yang bagus kepada penonton kerana ia tentang pemerkasaan wanita di luar sana.

“Drama ini bukan nak tunjuk wanita itu lemah, sebaliknya ia memaparkan kekuatan mereka dalam menangani pelbagai kemelut rumah tangga, kerjaya serta pengkhianatan.

“Semua orang tahu De Fam sentiasa membawa semangat memperkasakan wanita, jadi mesej itu selari dengan apa yang Azira perjuangkan,” katanya.

Selain faktor jalan cerita, Azira mengakui watak Seri yang dibawakannya kali ini memberikan cabaran tersendiri memandangkan dia belum pernah melakonkan watak sebagai mangsa penderaan dalam mana-mana naskhah sebelum ini.

“Azira tak pernah berlakon watak yang didera. Jadi, ini adalah kali pertama Azira menggalas watak sebegitu. Ia adalah satu cabaran untuk lihat sejauh mana Azira mampu untuk tunjukkan emosi seorang wanita yang didera dalam rumah tangganya.

“Jadi, cabaran itulah yang membuatkan Azira sangat berminat untuk menjayakan watak Seri dalam Kerana Cinta Itu Dusta ini,” katanya.

Menyedari realiti segelintir wanita yang terpaksa melupakan impian dan cita-cita kerana dikongkong pasangan, Azira menitipkan pesanan agar wanita yang mengalami nasib seperti Seri untuk berani keluar daripada hubungan toksik.

“Nasihat saya, kena berani untuk bangkit. Saya tak kata kita kena terus tinggalkan pasangan kerana soal takdir dan hukum kita tak boleh lawan. Kita tak tahu mungkin nasib akan berubah.

“Namun, wanita perlu berjuang demi apa yang mereka inginkan. Bangkit di sini bukan bermaksud untuk jadi kurang ajar atau tak dengar kata suami, tapi ia lebih kepada mempertahankan hak dan keinginan diri.

“Hubungan toksik ini tak hanya berlaku dalam hubungan dengan pasangan tapi ia juga boleh terjadi dalam persahabatan mahupun dalam keluarga sendiri. Jadi, selagi kita boleh elak daripada berada dalam hubungan toksik ini, cubalah sehabis baik untuk elak dan keluar daripadanya,” kongsinya.

Meskipun memulakan hari pertama di set penggambaran dengan babak didera, Azira berkata, dia berasa sangat bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan barisan pelakon dan kru yang sangat profesional, terutama Emma Maembong.

“Sejujurnya, hari pertama saya masuk set (penggambaran) sahaja terus kena lalui babak didera dengan darah sana sini. Bagi saya, sangat menyeronokkan kerana mereka semua senang untuk bekerjasama.

“Pengarah drama ini seorang yang sangat ‘supportive’. Alhamdulillah, setakat ini segalanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Emma, Azira mengakui nama pelakon itu menjadi salah satu faktor utama mengapa dia menerima tawaran drama berkenaan.

“Saya sangat gembira dapat ‘sparring’ dengan Emma. Dia adalah seorang pelakon hebat yang saya teringin nak bekerjasama selama ini.

“Sebenarnya, barisan pelakon dalam drama inilah yang menjadi antara sebab utama kenapa saya tertarik untuk mengambil tawaran ini,” katanya.

Mencerminkan konflik watak Seri dalam drama itu yang tersepit dengan sikap suami suka mengongkong, Azira mengakui dia mendambakan pasangan yang benar-benar memahami prinsip hidupnya.

“Sudah tentu saya mahukan orang yang memahami. Bukan sahaja faham tentang kerjaya saya, tetapi faham daripada segi masa. Pada masa yang sama, saya mahu terus melakukan apa yang saya suka lakukan.

“Sejak zaman sekolah lagi saya dah mula bekerja. Maknanya, saya memang jenis yang tak suka bergantung dengan orang lain.

“Untuk mencari yang benar-benar memahami, saya rasa agak sukar bagi saya. Tapi kalau ada yang datang dan boleh faham, sayang saya dan keluarga saya, insya-Allah, saya hanya mampu berdoa sahaja,” luahnya.

Menganggap watak Seri sebagai satu transformasi besar dalam kerjaya lakonannya, Azira berharap kelainan yang cuba ditampilkan itu mampu memberi impak mendalam kepada peminat yang sudah lama tidak melihat kemunculannya di TV.

“Saya dah bersedia dengan apa sahaja reaksi penonton untuk watak Seri ini. Seperti yang saya katakan, drama ini akan memberi kelainan yang tak pernah orang lihat sebelum ini.

“Harapan saya, penonton boleh terima Seri, menyayangi Seri dan faham mesej yang cuba kami sampaikan melalui naskhah ini,” katanya.

Menurut Azira, penonton perlu melihat drama ini daripada sudut yang lebih luas kerana ia sarat dengan pelbagai pengajaran hidup yang boleh dijadikan iktibar.

“Drama ini bukan berkisarkan tentang cinta, persahabatan atau pengkhianatan semata-mata. Memang banyak pengajaran yang penonton boleh ambil sebagai iktibar daripada jalan ceritanya,” katanya.

Selain Azira, drama Kerana Cinta Itu Dusta arahan Nur Ain Sharif yang bakal disiarkan di TV3 turut dibintangi Emma Maembong, Jazmy Juma, Nazrief Nazri dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top